Tamadun Islam

  • Uploaded by: Kevin Cheng
  • 0
  • 0
  • January 2021
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Tamadun Islam as PDF for free.

More details

  • Words: 4,908
  • Pages: 28
Loading documents preview...
PENDAHULUAN Kursus “Tamadun Islam Dan Tamadun Asia” atua dikenali sebagai TITAS merupakan satu kursus yang penting serta wajib untuk menerapkan nilai, moral, dan unsur pembentukan akhlak yang mulia dalam jiwa seseorang pelajar. Kita dapat bermanfaatkan diri sendiri dengan tiga ciri tersebut melalui Tamadun Islam. Perkataan Tamadun adalah istilah bahasa Arab berasal daripada perkataan maddana dan madana yang bermaksud membangunkan kawasan dan akhlak (kerohanian). Unsur-unsur ini penting untuk mengukur tahap ketamadunan sesebuah masyarakat. Tamadun Islam telah melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul, berpengetahuan tinggi dan tinggi budi bahasa di dunia. Dengan adanya ciri-ciri berikut, Dunia Islam telah diakui sebagai mangkin kepada Zaman Pembaharuan di Eropah yang akhirnya melahirkan satu tamadun yang gemilang di sana. Seperti yang dijelaskan oleh Francis Bacon(1561-1626), merupakan seorang ahli falsafah Inggeris, “Ilmu adalah kuasa”. Kata ini amat tepat dalam semua generasi sehingga hari ini dan membolehkan Tamadun Islam menjadi sebuah tamadun yang gemilang. Nabi Muhammad s.a.w. mengembangkan Tamadun Islam dari Semenanjung Tanah Arab selepas menerima wahyu pertama. Seperti yang dikatakan oleh Joseph Conrad, “Tiada manusia yang berjaya dalam semua yang dilakukannya dan kewujudan kita ini sebenarnya mesti menempuh kegagalan. Yang penting ialah kita tidak menjadi lemah semasa kegagalan itu terjadi dan kekalkan usaha hingga ke akhir hayat.” Ini mengata walaupun Nabi Muhammad s.a.w. menghadapi banyak cabaran dalam meluaskan Agama Islam, namun beliau tidak berputus asa, tetepi bembangkitkan diri sendiri dan penganutnya. Kerajaan Islam pertama yang dibangunkan di dunia terletak di Madinah semasa Baginda berhijrah ke Madinah pada tahun 622M.

Secara umumnya

kedatangan atau pertapakan Islam dan perkembangannya di Kepulauan Melayu

berlaku pada abad ke 12 M atau ke 13 M. Ia tersebar di Sumatera diikuti oleh Melaka pada ke-15 M dan kemudiannya oleh Pulau Jawa.( M. Rajendran (1993)Petaling Jaya) Tajuk tugasan kumpulan kami adalah “Bincangkan perkembangan dan sumbangan Tamadun Islam di Asia Tenggara”. Hala tuju tugasan ini adalah untuk memahami sumbangan yang telah diberi oleh Tamadun Islam dan perkembangan tamadun itu. Objektik tugasan ini adalah untuk mengkaji perkembangan dan sumbangan tamadun Islam di Asia Tenggara. Tamadun Islam telah banyak memberi sumbangan kepada seluruh dunia dalam pelbagai aspek, sebagai contohnya ilmu-ilmu perubatan, matematik, astonomi dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini telah disebarkan ke seluruh dunia dan digunakan oleh orang ramai sehingga hari ini. Sebenarnya, sejarah awal kedatangan Islam ke Alam Melayu merupakan isu yang terus diperdebatkan dalam kajian sejarah Asia Tenggara. Ini berpunca daripada ahli sejarah, khususnya yang mengkaji tentang sejarah kedatangan Islam masih kekurangan bukti berhubung dengan isu tersebut. Namun begitu, terdapatnya tanda yang jelas membuktikan kedatangan Islam ke Asia Tenggara ialah buku-buku sejarah yang ditulis pada zaman itu, seperti buku Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hukum Kanun Melaka dan lain-lain.

BAHAGIAN A (PENGENALAN) Risalah Ilahi yang dibawa oleh semua Nabi dan Rasul sejak Nabi Adam A.S. sehinggalah kepada Nabi Muhammad S.A.W. dikenali sebagai ‘Islam’. Perkataan Islam ini menunjukkan suatu sifat yang terkandung dalam makna perkataan “Islam” itu sendiri. Makna perkataan Islam dari sudut bahasa ialah tunduk, patuh, menyerah diri dan sejahtera. (Ahmad Zaki Abd. Latiff, 2009, Tamadun Islam dan Tamadun Asia(TITAS) ) Terdapat 3 teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara iaitu teori kedatangan Islam dari semenanjung Tanah Arab, teori kedatangan Islam dari China dan teori kedatangan Islam dari India. Teori kedatangan Islam dari Arad pada mulanya dikemukakan oleh John Crawford dan kemudian disokong oleh intelektual tempatan, Proffesor Syed Muhammad Naquib al-Attas. Menurut John Crawford, Tamadun Islam berkembang di Asia Tenggara menerusi kegiatan perdagangan. Arab dan Parsi telah mempunyai pusat petempatan dan perniagaan di Canton(Amoy) sejak tahun 300 Masihi. Sejak awal lagi orang Arab telah menguasai kegiatan perdagangan laut dari pelabuhan Iskandariah di Mesir hingga ke negeri China. Pedagang Arab berdagang secara berterusan di Asia Tenggara setelah kemunculan Islam di Makkah pada abad 7 Masihi. Pedagang Arab ini telah singgah di pelabuhan utama Asia Tenggara terutamanya pelabuhan di Selat Melaka sebelum teruskan pelayaran ke China. Pelabuhan di Selat Melaka menjadi tempat menunggu pertukaran angin monsun kerana kedudukannya strategik dan merupakan laluan utama perdagangan dan perjalanan antara timur dan barat. Kebanyakan pedagang Arab telah menetap di Asia Tenggara selama beberapa bulan sebelum meneruskan perjalanan ke China semasa menunggu pertukaran angin monsun. Mereka telah membina perkampungan di situ contohnya Ta Shih di Sumatera utara pada tahun 650M. Perkampungan ini telah

berkembang menjadi tapak untuk berdagang, pusat mengumpul barang jualan, tempat membeli barang-barang mewah seperti tekstil dan tembikar dari China dan India. Ada juga orang Arab di perkampungan ini

berkahwin dengan wanita tempatan dan

menyebarkan Islam. Pedagang Arab berbincang dan berinteraksi dengan pedagang tempatan dan Asia Tenggara tentang kepercayaan dan agama semasa menunggu perubahan angin monsun. Penduduk tempatan tertarik dengan agama Islam kerana kemurnian Islam, sifat kejujuran dalam amalan perniagaan, sifat mementingkan kebersihan dan hemah tinggi yang ada pada para pedagang Islam. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, wujud persamaan penulisan dan kesusasteraan Asia Tenggara dan Arab perkataan Arab yang terdapat pada tulisan jawi diambil daripada bahasa Arab. Begitu juga adat resam dan kebudayaan orang Melayu banyak dipengaruhi oleh budaya Arab seperti amalan menghormati tetamu dan muzik Melayu seperti tarian zapin dan dabus. Kebanyakan karya tempatan juga menceritakan tentang pengislaman raja di Asia Tenggara oleh syeikh dari Semenanjung Tanah Arab contohnya Hikayat Raja-Raja Pasai Teori kedua ialah teori kedatangan Islam dari China yang dikemukakan oleh Emanuel Gadinho Eredia dan S.Q. Fatimi. Menurut Emanuel Gadinho Eredia, Khan Fo atau Canton (Guang Zhou) pernah menjadi pusat perniagaan terkenal di kalangan peniaga Arab yang beragama Islam sejak abad ke-9 Masihi. Melalui hubungan perdagangan ini, Islam berkembang dalam kalangan pedagang China. Apabila pedagang China Islam berdagang ke Asia Tenggara, mereka menyebarkan Islam kepada masyarakat Asia Tenggara. Menurut S.Q. Fatimi pula, ramai pedagang China Islam yang tinggal di Canton atau Amoy berpindah ke Asia Tenggara pada sekitar tahun 876M. Bukti kedatangan Islam dari China ini diperkukuh dengan penemuan Batu Bersurat Terengganu di Kuala Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu. Ini

telah membuktikan bahawa Terengganu telah wujud sebuah kerajaan tua yang bergantung kepada perdagangan. Tambahan pula, wujud persamaan antara seni bina China dengan seni bina masjid di Kelantan, Melaka dan Pulau Jawa seperti seperti bumbung jubin lantai, dinding, tangga, dan kolam air di masjid. Seterusnya, teori ketiga ialah teori kedatangan Islam dari India. Teori ini dikemukakan oleh seorang sejarawan Belanda, Snouck Hurgronje. Menurut Snouck Hurgronje, sejak abad ke-13, Islam telah berkembang ke Asia Tenggara melalui wilayah Gujerat dan pantai Koromandel. Hubungan perdagangan India dengan Asia Tenggara sudah lama wujud telah memberi peluang pedagang Islam India menyebarkan Islam. Gujerat merupakan sebuah pelabuhan penting era pemerintahan Alaudin Khilji di India. Selain itu,

terdapat batu marmar pada batu nisan di

perkuburan Malik Ibrahim di Gerisik, Jawa dan batu nisan Malik al-Salih di Pasai mempunyai ciri buatan India. Budaya masyarakat Asia Tenggara yang mempunyai persamaan dengan budaya dari India telah membuktikan hubungan rapat antara India dengan Asia Tenggara sebelum kedatangan Islam. Tanda yang jelas membuktikan kedatangan Islam ke Asia Tenggara ialah buku-buku sejarah yang ditulis pada zaman itu, seperti buku Sejarah Melayu, Hikayat Raja-Raja Pasai, Hukum Kanun Melaka dan lain-lain. Selain itu batu-batu bersurat seperti batu bersurat di Terengganu (1303 M), dan di Minye Tujuh, Aceh (1380 M). Yang ketiga ialah kerajaan-kerajaan Islam yang diasaskan di Asia Tenggara seperti di Acheh, Melaka, Johor, Demak (Jawa Tengah), Tidore, Banten (Jawa Barat), Goa (Makasar), Ternate, Brunei, Sulu dan kerajaan-kerajaan yang lain. Kedatangan Islam memberi jiwa yang baru dan besar kepada kebudayaan Melayu khususnya bahasa Melayu.

Kedatangan pengaruh Islam menjadikan bahasa Melayu kaya dan mampu digunakan untuk membahas perkara-perkara yang ilmiah seperti falsafah (yang tidak pernah berlaku pada masa sebelum kedatangan Islam sekalipun pengaruh Hindu cukup kuat bertapak pada kebudayaan Melayu sebelum itu), tasawuf, hukum dan undang-undang, penterjemahan al-Qur'an (misalnya Abdul Rauf Al-Fansuri menerjemahkan al-Qur'an buat kali pertama dalam bahasa Melayu pada abad ke-17 M), perbahasan ilmu Hadis, ilmu fikah dan berbagai-bagai ilmu lagi. Pendeknya kedatangan Islam menjadikan bahasa Melayu mampu untuk digunakan bagi membahas perkara-perkara yang bersifat intelektual.Satu lagi pengaruh Islam yang meresap ke dalam kebudayaan Melayu ialah tulisan Melayu-Arab atau biasa disebut tulisan Jawi. Dengan tulisan ini bahasa Melayu dapat ditingkatkan, sementara hasilhasil kebudayaan Melayu zaman dahulu dapat dirakamkan sehingga kita dapat menyaksikannya sampai sekarang ini. Bahkan karya-karya Melayu lama lebih banyak dalam bentuk tulisan Jawi daripada yang telah dirumikan. Pengaruh Islam yang lain di Asia Tenggara adalah dalam bidang politik, perundangan (perlaksanaan hukum shara') dan pentadbiran. Ini dapat disaksikan pada sistem pemerintahan Kesultanan Melaka (1403 M - 1511 M), Kesultanan Johor-Riau (1511 M - 1824 M), Kesultanan Aceh terutama dalam zaman Iskandar Muda Mahkota Alam (1606 M - 1636 M), Kerajaan Bantan (1527 M - 1640 M), Kerajaan Brunei (sejak 1500 M) dan lain-lain. Dalam perkara ini peranan ulama-ulama Islam sangatlah penting khasnya dalam membentuk masyarakat Islam di Asia Tenggara, selain men-jadi para pemimpin untuk menentang pencerobohan kuasa-kuasa asing terutamanya dari penjajah Barat. Ulama-ulama inilah juga yang telah mengajar dan mendidik masyarakat dan umat Islam untuk menegakkan maruah bangsa, mempertahankan tanah air, agama dan bangsa, di

samping selain daripada menghayati ajaran-ajaran agama Islam sesuai, dengan sifatnya sebagai agama untuk kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat.

BAHAGIAN B (III) PERBINCANGAN Faktor-faktor kejayaan tamadun Islam Tamadun Islam mencapai kejayaan dan perkembangan dalam pelbagai bidang kerana banyak punca pendorong yang terdapat dalam ajaran Islam dan sumber-sumber asasnya. Antara punca-punca tersebut adalah seperti berikut: 

Dorongan daripada semangat Iqra’ (membaca)

Wahyu pertama daripada Allah s.w.t. kepada Nabi Muhammad s.w.t. adalah titik tolak kepada kelahiran tamadun Islam. Tamadun Islam tidak bertitiktolak dari kawasan yang berdekatan dengan sungai sebagai asas kehidupan material seperti tamadun-tamadun lain. Sebaliknya, pencetus kemunculan tamadun Islam adalah atas kewajiban agama dalam menuntut ilmu. 

Keterbukaan dan kreativiti tamadun Islam

Waqar al-Husaini (1985) seorang sarjana menegaskan bahawa sikap terbuka umat Islam terserlah dalam memanfaatkan sumber-sumber tamadun daripada orang Yunani, Romawi, Iskandariah, Syria, Parsi, India dan China. Umat Islam tidak meniru unsur luar tanpa saringan dan tapisan yang wajar. Namun ia tidak bermaksud menghalang umat Islam daripada mengkaji dan meneliti hasil tamadun luar terutama hal-hal yang baru. Malah, Muhammad Asad (1983) menjelaskan bahawa umat Islam selalu menerima pengaruh-pengaruh baru daripada peradaban asing tanpa menghancurkan peradabannya sendiri.



Ilmu berasaskan tauhid

Ilmu Tauhid adalah ilmu yang membahaskan tentang Allah s.w.t., sifat-sifat yang wajib pada-Nya, sifat-sifat yang boleh disifatkan kepada-Nya, dan sifat-sifat yang sama sekali harus ditiadakan daripada-Nya. Ilmu tauhid iaitu ilmu yang menegaskan hakikat keesaan Allah s.w.t. Tauhid berasal daripada bahasa Arab tawhid yang bererti mengesakan dan meyakini bahawa Allah s.w.t. itu Esa dan tidak ada sekutu bagi-Nya. Kelahiran Tamadun Islam Kelahiran tamadun Islam agak perbeza dengan tamadun-tamadun lain. Tamadun Islam lahir di kawasan padang pasir yang kontang. Manakala tamadun lain lazimnya bermula di kawasan lembangan sungai. Peranan manusia sangat penting dalam pembinaan tamadun Islam. Atas hakitat inilah maka Rasululullah S.A.W mengambil masa selama 13 tahun bagi membentuk personality Muslim yang unggul sebagai persediaan untuk membina tamadun yang lebih besar. Akhirnya, wajah kesempurnaan tamadun Islam bersinar di Madinah, dan Berjaya membuktikan kepada dunia bahawa Islam adalah satu cara hidup yang unik dan merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Tamadun Islam telah Berjaya mengubah cara hidup manusia tanpa mengira apapun bangsa mereka. Kehidupan primitif telah berubah kepada satu bentuk kehidupan yang lebih maju dan membangun. Suku-suku dan bangsa-bangsa yang saling berperang dan berdendam telah disatukan menjadi satu ummah yang didasarkan kepada kesatuan akidah, prinsip kebebasan dan juga keadilan. (Ahmad Zaki Abd. Latiff, 2009, Tamadun Islam dan Tamadun Asia(TITAS) )

Cara-cara kedatang Islam ke Asia Tenggara Perkahwinan Faktor perkahwinan turut berperanan penting dalam proses penyebaran Islam di Asia Tenggara. Terdapat dua jenis perkahwinan iaitu pertama perkahwinan siasah dan kedua perkahwinan biasa. Perkahwinan siasah berlaku dalam kalangan kerabat diraja, misalnya di Melaka iaitu Sultan Mansur Syah dan Sultan Muzaffar Syah mengahwinkan puteri-puteri mereka dengan raja Siak, Kampar, Inderagiri, dan Jambi di Sumatera. Selain itu perkahwinan siasah turut berlaku antara puteri raja Melaka dengan raja Pahang dan raja Kedah. Perkahwinan ini kemudiannya menyebabkan seluruh negeri tersebut diislamkan. Perkahwinan biasa pula ialah perkahwinan antara pedagang Islam atau ulama dari India atau Semenanjung Arab dengan penduduk tempatan. Lantaran itu, Islam turut tersebut dalam kalangan keluarga wanita tersebut.

Perdagangan Kegiatan dakwah berjalan secara lancar oleh para pedagang Islam dari India semasa menjalinkan hubungan perdagangan di pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di Asia Tenggara seperti Melaka, Teluk Siam, Indo-China serta kepulauan rempah iaitu Maluku dan Makasar. Pelabuhan ini menjadi tumpuan perdagang dari pelbagai tempat serta juga dari masyarakat tempatan. Penyebaran Islam menjadi topik perbualan, kemudian dijadikan ikutan di kawasan tersebut. Faktor keperibadian pedagang Islam telah menyebabkan penduduk tempatan tertarik dan seterusnya menerima Islam yang dibawa oleh mereka. Lantaran itu, pelabuhan-pelabuhan ini menjadi pusat perbincangan tentang agama Islam dalam kalangan pedagang yang tinggal di situ. Para pedagang sambil berdagang mereka turut membawa para ulama untuk memudahkan penyebaran Islam dijalankan. Mereka ini tinggal beberapa bulan dan

ada juga sesetengahnya menetap di kawasan Asia Tenggara untuk meneruskan usaha dakwah Islamiah. Ajaran Islam lebih mudah disebarkan apabila para pedagang mengamalkan sifat berhemah dan lemah lembut. Sifat mahmudahyang dimiliki oleh para pedagang ini membuatkan penduduk tempatan tertarik dengan usaha dakwah mereka, lalu memeluk Islam. Islam turut tersebur dengan cepat kerana wujudnya hubungan baik antara para pedagang dengan raja-raja yang memerintah. Hubungan ini memberikan kedudukan istimewa kepada para pedagang dan ini memudahkan aktiviti penyebaran Islam disampaikan kepada masyarakat tempatan. Sifat kejujuran dan amanah yang ditunjukkan oleh para pedagang membuatkan pemerintah tempatan melantik mereka memegang jawatan Syahbandar di beberapa bandar pelabuhan utama di negeri-negeri di Asia Tenggara. (Yusuf. M.I (2002) Buku Teks Tingkatan 4)

Sumbangan Tamadun Islam Tamadun Islam telah memberikan sumbangan secara menyeluruh kepada kehidupan dan keperluan manusia dari aspek kepercayaan, kenegaraan, perekonomian, social, moral, dan sebagainya. Ia telah mencetuskan perubahan yang amat besar kepada kehidupan manusia tanpa mengira bangsa, keturunan, warna kulit dan sebagainya. Secara umumnya antara sumbangan tamadun Islam adalah seperti berikut: 1. Ilmu Pengetahuan

4. Sosial

2. Ekonomi

5. Kesenian

3. Politik

6. Akidah tauhid

Ilmu Pengetahuan Ayat al-Quran pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W adalah berkaitan dengan pemerintah menuntut ilmu. Perintah ini dikuatkan lagi dengan saranan Sunnah Rasulullah S.A.W. Ini membuktikan bahawa Islam menganjurkan umatnya agar menggunakan ilmu untuk mengkaji, menyelidik rahsiarahsia alam bagi membangunkan tamadun meraka dan mendekatkan diri dengan pencipta. Tradisi kegiatan intelektual yang didukung oleh Rasulullah S.A.W. para persahabat dan khalifah-khalifah Islam selepas telah meletakkan tamadun Islam terkehadapan daripada tamadun-tamadun lain. Daripada al-Quran umat Islam telah mengembangkan ilmu-ilmu moden seperti matematik, astronomi, geografi, perubatan dan lain-lain. Ilmu-ilmu ini pula diterjemahkan dalam kehidupan seharian umat Islam sehingga mampu membangunkan tamadun yang unggul. Sumber ilmu pengetahuan adalah; i. Al-Quran ii Al-Sunnah iii Al-Ijtihad

Al-Quran: Terdapat banyak ayat-ayat yang menyuruh manusia menyingkap tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t, menggesa manusia mempelajari dan mengembangkannya. Ada dalam bentuk umum dan ada dalam bentuk khusus. Terdapat ayat-ayat khusus yang membabitkan disiplin tertentu seperti: i. Astronomi; al-Anbiya: 23, al-An’am: 97, Yasin: 38-40 dan lain-lain. ii. Matematik; al-Nisa’: 11-12. iii.Biologi; alHajj: 5, al-Alaq: 2 dan lain-lain. iv. Fizik; al-A’la: 1-3, Luqman: 20. v. Kimia; al-Rahmah: 7-9, al-Ra’d: 3 dan lain-lain.

Al-Sunnah: Hadith-hadith Nabi juga ada menerangkan, menggesa dan menganjurkan pencarian ilmu serta melakukan segala urusan dengan cara yang sesuai dengan kepakaran yang dimiliki seperti sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud; “Kamu lebih tahu tentang urusan dunia kamu”.

Al-Ijtihad:

Penggunaan akal yang bijak telah menghasilkan ilmu-ilmu baru. Ini sesuai dengan tuntutan mencari ilmu dalam Islam. Menurut Imam al-Ghazali, tuntutan mencari ilmu adalah kewajipan keagamaan yang dibahagikan kepada fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. (Ahmad Zaki Abd. Latiff, 2009, Tamadun Islam dan Tamadun Asia(TITAS) )

Prinsip Keilmuan Ia mempunyai tiga prinsip: 1- Tauhid Segala disiplin ilmu mestilah terikat dengan ilmu tauhid iaitu dengan menjadikan maklumat dan ilmu itu dirujukkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan sumber-sumber muktabar yang lain.

2- Berasaskan hiraki ilmu Dari sudut hiraki ilmu, ilmu-ilmu wahyu yang merupakan ilmu teras atau dasar yang merupakan ilmu yang tinggi kedudukannya. Ilmu-ilmu fardhu kifayah pula merupakan ilmu-ilmu yang lebih bersandarkan akal. Oleh itu ia di tempat kedua dari segi hirakinya.

3- Kesepaduan ilmu Idea dualisme hanya akan memberi kekeliruan dan mampu sekadar mencapai matlamat jangka pendek sahaja. Sebaliknya kesepaduan ilmu akan berkesinambungan dan seterusnya mencapai kedudukan yang paling tinggi iaitu keredhaan Allah s.w.t.

Akidah tauhid harus menjadi paksi atau tunjang kepada ilmu-ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Matlamat Ilmu Dalam Islam Matlamat ilmu dalam Islam harus berlegar kepada beberapa tujuan tertentu iaitu: i.

Untuk mengenali Yang Maha Pencipta iaitu Allah. Ini merupakan tonggak

matlamat segala ilmu yang ada di atas muka bumi ini. ii.

Untuk mengetahui bagaimana kehidupan sebenar yang merupakan ibadat

kepada Allah. iii.

Untuk mengatur kehidupan beribadah menurut kepercayaan akidah yang

sebenar. iv. Untuk menguruskan dan mentadbir alam sebagai khalifah Allah.

Pengaruh Tamadun Islam Kepada Ilmu Pengetahuan Seperti yang ditegaskan bahawa bukti-bukti pencapaian Tamadun Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan yang menyerikan zaman kegemilangan Islam adalah lahir dari ajaran Islam itu sendiri yang telah diolah oleh pemikir-pemikir Islam. Ia menjadi rebutan oleh pencinta-pencinta ilmu terutama dari blok Eropah dan Barat. Hal ini boleh diperhatikan beberapa kesan pengaruh tamadun Islam terhadap dunia Eropah dan Barat dan dunia seluruhnya, antara lain:

Penubuhan Pusat Pengajian Tinggi Islam Kaum muslimin amat tekun mengkaji isi kandungan al-Quran dan al-Hadith sejak dari permulaan Islam lagi. Di samping ketekunan beribadat, mereka juga tidak ketinggalan dalam usaha penemuan ilmu-ilmu umum baru yang lain. Kesemua ini bertujuan bagi kepentingan umat manusia, baik untuk keselesaan hidup di dunia mahupun mencari kebahagian di akhirat. Dengan sebab itu, lahir para ilmuan dalam pelbagai bidang tersebar di seluruh pelosok dunia Islam. Pemimpin Islam telah mengambil inisiatif untuk mengumpul para ilmuan di suatu tempat dan diberi upah bagi mereka yang mengajar dan membuat penyelidikan dari semasa ke semasa. Akhirnya tempat itu menjadi Pusat Pengajian Tinggi Islam. Berbagai lapisan masyarakat datang ke tempat itu sama ada dari dalam atau luar negara seperti pelajarpelajar dari Eropah untuk menimba pelbagai ilmu pengetahuan dari tokoh-tokoh terkenal. Disiplin Ilmu, Tokoh Dan Sumbangannya Rasulullah s.a.w. adalah tokoh yang mengintegrasikan ilmu pengetahuan yang berbentuk duniawi dan ukhrawi tanpa wujud sebarang pemisahan di antara satu sama lain. Di antara cara-cara yang biasa dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. untuk merealisasikan perkara di atas antaranya pada malam hari baginda banyak mengerjakan amal ibadah dan pada siang hari baginda bertanggungjawab dalam pentadbiran dan pengurusan negara. Baginda juga mendidik para sahabat secara langsung dengan ilmu-ilmu yang dapat mendisiplinkan mereka sehingga tidak sanggup melakukan sebarang penyelewengan dalam kehidupan bermasyarakat disebabkan mereka menguasai ilmu dunia dan akhirat dengan seimbang. Kecemerlangan keilmuan dalam Tamadun Islam di zaman silam itu, akhirnya melahirkan ramai tokoh ilmuan dalam pelbagai bidang. Ianya dikagumi dunia

sehingga kini. Oleh itu lahir tokoh-tokoh intelektual yang terbilang dalam pelbagai bidang. Berikut akan dijelaskan ilmu-ilmu yang telah diterokai oleh para ilmuan Islam itu dan sumbangan yang telah mereka berikan. Matematik Orang Islam telah mempersembahkan kepada dunia ilmu Algebra dalam bentuknya yang asli. Algebra, perangkaan dan matematik gunaan telah dipelopori dan diketengahkan oleh para sarjana Muslim. Merekalah orang pertama menggunakan Algebra dalam bidang Geometri. Di antara tokoh ilmu matematik Islam ialah al-Khawarizmi (780-850M). Beliau merupakan seorang ahli matematik Islam termasyhur. Beliau memberikan sumbangan dalam perkembangan ilmu matematik apabila mengemukakan asal usul angka. Karya-karya beliau telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh Prince Boniopagni, iaitu kitab al-Jami’ wa al-Tafiq bi Hisab al-Hind. Kitab ini dikatakan ditulis oleh beliau berdasarkan kepada matematik yang berasal dari India. Al-Khawarizmi telah memperkenalkan satu teorem baru dalam matematik iaitu Algebra. Perkara ini dirakamkan di dalam kitabal-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah. (Mustafa Daud 1991: 261). Perubatan Sarjana Islam Andalusia telah berjaya menghasilkan kemajuan yang amat membanggakan dalam bidang ini dan kejayaan mereka mengatasi pencapaian ahliahli perubatan Timur.Berdasarkan teori-teori baru, ahli-ahli perubatan Islam Andalusia telah berjaya melakukan eksperimen-eksperimen yang sukar. Mereka sentiasa berhatihati dalam semua operasi yang dilakukan khususnya dalam bidang aetiologi, patologi dan terapuitik. Dengan itu Andalusia berjaya melahirkan ramai sarjana yang mempunyai kepakaran yang mendalam dalam berbagai cabang ilmu kedoktoran dan mereka telah menghasilkan karya-karya perubatan yang dilengkapi dengan ilustrasi

alat-alat pembedahan. Inilah sumbangan terbesar oleh sarjana perubatan Islam dan dunia perubatan moden terhutang budi kepadanya. Orang Yahudi mempelajari ilmu daripada sarjana Islam Andalusia dan mereka menjadi terkenal di merata tempat. Selain daripada itu, para sarjana perubatan menjadi tenaga pengajar di universitiuniversiti di seluruh Andalusia. Mereka bertanggungjawab mengurniakan diploma atau ijazah kepada para pelajar yang telah tamat pengajian kedoktoran. Seseorang itu tidak dibenarkan untuk mengajar atau memperaktiskan ilmu kedoktoran tanpa diploma atau ijazah yang berkenaan. Banyak hospital awam didirikan di semua bandar penting di Andalusia. Contohnya pada zaman pemerintahan khalifah Bani Umaiyah terdapat lebih kurang 40 buah hospital di Cordova. Di antara tokoh ilmu perubatan Islam ialah Ibn Zuhr (meninggal dunia pada 525H/1131M). Di Barat beliau dikenali sebagai Avensoon. Beliau juga merupakan pakar perubatan yang termasyhur di Andalusia. Beliau telah meninggalkan karya yang amat dihargai oleh Barat iaitu kitab al-Taysir yang diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dalam tahun 1289M oleh Paravicius dengan nama Theisir. Ia dikenali sebagai Facilitation of Treatmentdalam bahasa Inggeris. Ekonomi Ekonomi memaainkan peranan penting dalam kehidupan seharian-harian. Ini kerana ia menentukan pembangunan dalam semua bidang tak kira pertanian, perikanan, perindustrian, dan sebagainya. Tamadun Islam telah menyediakan sebuah sistem ekonomi sempurna di dalam mempergunakan sumber kurniaan Allah S.W.T.. Ianya bagi memenuhi keperluan semua manusia, dan menyediakan keadaan kehidupan ini lebih selesa. Harta kekayaan sebagai satu amanah dari Allah dan mestilah digunakan dengan baik kerana ia adalah satu ujian akidah. Bahkan 'pemilikan' oleh manusia hanya sebagai pemegang amanah dengan 2 objektif penting

iaitu, kesejahteraan manusia sejagat dan keadilan sosioekonomi. Firman Allah S.W.T. dalam surah al-Baqarah (2.275) yang bermaksud: “…Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan rina…” (Syarifah, M.A.(2013). Tamadun Islam Di Asia Tenggara.)

Kesenian Al-Quran membawa pengaruh yang besar dalam perkembangan seni. Ini termasuklah seni bina, seni tari, seni muzik, seni bahasa dan tulisan, kesusasteraan, seni ukir dan lagu. Selain itu, kesenian itu juga merupakan suatu ciri tamadun dimana tamadun itu mampunyai tahap perkembangan kebudayaan yang tinggi. Diantara ciri-ciri tamadun ialah: • bentuk negara dengan pentadbiran yang tersusun • kehidupan bandar • sains dan teknologi dan pendidikan yang mencapai perkembangan • arsitektur yang membina monumen dan bangunan –bangunan besar • aktiviti kesenian yang berkesan

Sehubungan itu, kesenian merupakan pola kebudayaan sejagat dan ciri yang turut memperkembangkan kebudayaan suatu tamadun. Apabila dikaji kesenian merupakan salah satu ciri bagi tamadun Islam. Sebagai contoh, Bandar dan bangunanbangunan ditegakkan oleh tata kota dan seni bina. Oleh hal yang demikian, Islam telah merumuskan bahawa seni Islam ialah ciptaan bentuk yang mengandungi nilai estetik yang berpadu kepada nilai etika Islam. Sekalipun kesenian tiada hubungannya dengan agama Islam melainkan dengan kebudayaan Islam. Namun disebabkan kebudayaan yang tertakluk pada agama, maka disebabkan itu jugalah kesenian tertakluk dan dikendalikan oleh agama. Agama telah mengariskan syariat yang wajib ditempuh oleh kebudayaan di mana menyuruh melakukan “Amar ma’ruf, nahi mungkar”. oleh itu dengan tertakluknya kesenian kepada agama, bermakna tertakluknya nilai estetika kepada nilai etika. perpaduan diantara nilai estetika dan nilai etika merupakan asas di atas mana-mana gagasan Islam tentang kesenian. Seni bina Seni bina merupakan di antara bentuk-bentuk seni yang terdapat pada sesuatu tamadun. Disamping itu, dengan pembangunan masjid-masjid maka terciptalah seni bina khas dengan unsur-unsurnya:     

Bentuk pilar Busur Kubah Ukiran lebah bergantung Menara yang menjulang tinggi.

Seni bina Islam boleh dibahagi kepada tiga cabang:

1. Bangunan sipil (‘imarah madaniyah) yang menyatakan tentang bandar-bandar dan gedung-gedung khusus. 2. Bangunan agama (‘imarah diniyah) yang wujud pada masjid –masjid dan tempat-tempat ibadat lainnya. 3. Bangunan milter (‘imarah harbiyah) yang terjelma pada benteng dan menara pertahanan. Seni bina mencirikan kepada lambang islam dan berlandaskan tauhid kepada Allah S.W.T serta menitikberatkan kepada reka bentuk islam banyak dipengaruhi oleh seni bina masjid seperti istana-istana, taj Mahal, kota-kota seperti kta Baghdad malah di Malaysia sendiri seerti bangunan Sultan Abdul Samad, bangunan kerertapi tanah melayu, bangunan daya bumi dan pintu gerbang Darul Ehsan. Seni tari dan Seni Muzik Muzik boleh ditakrifkan sebagai bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan. Antara kesenian masyarakat Melayu yang paling popular ialah seni tari dan seni muzik. Sebelum kedatangan Islam, muzik di Alam Melayu berunsurkan Hindu dan Buddha. Apabila Islam datang ke Nusantara, Islam memperkenalkan bentuk-bentuk nyanyian yang mengagungkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Contoh persembahan yang diadaptasikan ialah seperti hadrah, rodat, dabus dan dikir rebana. Kesemuanya dipersembahkan secara berkumpulan yang diiringi dengan rebana dan gong (Abdul Kadir 1988).

Sosial

Berikutan dengan perkembangan Islam di Alam Melayu, ciri- ciri sosial Islam juga telah bertapak secara beransur-ansur yang akhirnya berjaya mengambil tempat ciri-ciri sosial Hindu yang menguasai masyarakat melayu ketika itu. Antara ciri-ciri sosial yang dibawa oleh Islam ialah persamaan taraf dan persaudaraan Islam antara semua anggota masyarakatnya, sehingga tergugat kedudukan sistem kasta dan perhambaan serta perbezaan taraf di kalangan mereka. Dengan terhapusnya sistem kasta yang dipengaruhi oleh budaya dan tamadun Hindu itu, Islam telah menggantikannya dengan memperkenalkan sistem atau konsep persamaan taraf dan persaudaraan Islam, malah berjaya mewujudkan perpaduan, kemesraan dan semangat bantu membantu antara satu sama lain. Setelah kedatangan Islam ke rantau ini, konsep kasta dilihat tidak lagi releven kerana Islam menegaskan bahawa manusia berasal dari Adam dan Hawa. Kedudukan dan taraf manusia dinilai berdasarkan iman dan taqwanya, bukan pada pangkat dan darjat kebangsawanan seperti yang diamalkan oleh tamadun Hindu melalui sistem kasta tersebut. Islam juga mengarahkan manusia supaya hidup secara aman dan harmoni serta mewujudkan perpaduan. Masyarakat dibentuk dengan sifat dan rasa tanggungjawab serta saling bantu-membantu antara satu sama lain, sifat atau akhlak yang mulia amat ditekankan oleh Islam. Mereka juga ditiupkan dengan semangat kerjasama dan perpaduan dengan menganggap bahawa seluruh umat Islam adalah satu anggota. Akibat daripada semangat tersebut, muncullah konsepsi bahawa seluruh umat Islam di dunia ini adalah bersaudara. Dengan cara itu terbentuklah masyarakat yang bersatu padu dan mempunyai hubungan yang erat, walaupun masyarakat tersebut terdiri dari pelbagai bangsa dan

keturunan. Secara tidak langsung, apabila hubungan masyarakat sudah kukuh tali persaudaraannya, tentunya negara mereka menjadi kuat dan stabil serta dapat mempertahankan diri daripada gangguan dan ancaman anasir-anasir luar. Bagi mendidik masyarakat, Islam telah memperkenalkan hukum-hukum dan peraturan berdasarkan al-Qur’an dan al-Hadith. Ajaran agama Islam telah mengatur sistem perhubungan sosial dan kekeluargaan yang cukup menarik kepada masyarakat. Contohnya dalam perhubungan antara anak-anak dengan ibu bapa, suami dengan isteri, orang tua dengan orang muda, pemimpin dengan rakyat dan sebagainya. Melalui hukum dan peraturan itu, akan terbentuklah nilai akhlak yang mulia dan harmoni dalam perhubungan sosial antara individu dan kumpulan masyarakatnya. Komunikasi antara kelompok manusia akan dapat berjalan dengan sempurna, terjalin menerusi sifat hormat menghormati, bergotong-royong dan bantu-membantu antara satu sama lain. Selain daripada itu, institusi-institusi baru kemasyarakatan juga turut muncul seperti masjid, surau, madrasah dan sebagainya yang memainkan peranan utama dalam hubungan sosial harian. Tempat-tempat seperti ini bukan sahaja berguna sebagai tempat beribadat tetapi juga sebagai tempat pertemuan sosial. Masjid umpamanya menjadi tempat menimba ilmu, dewan tempat bermesyuarat dan kelab untuk membincangkan pelbagai masalah dan urusan, sama ada dalam perkara agama atau bagi menyelesaikan hal-hal kemasyarakat yang dihadapi.

BAHAGIAN C (PANDANGAN) Pada pandangan kami, Tamadun Islam telah membawa banyak manfaat kepada Asia Tenggara. Pertama sekali, Islam telah membawa perubahan yang besar dalam mengubah kepercayaan dan corak pemikiran masyarakat. Islam juga membawa unsur-unsur yang rasional, intelektual dan logik akal di mana mereka diajar supaya percaya kewujudan Tuhan iaitu Allah yang Maha Esa. Islam menyuruh umatnya supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari rezeki yang halal agar disenangi dan dihormati oleh masyarakat. Walaupun umatnya gagal berbuat demikian, Islam menyuruh umatnya agar tabah dan sabar serta menghargai nyawa yang diberikan oleh Allah S.W.T. dengan ketentuanNya, bukannya berputus asa dan membunuh diri. Di samping itu, Islam juga mengarahkan umatnya supaya hidup secara aman dan harmoni serta mewujudkan perpaduan. Masyarakat dibentuk dengan sifat dan rasa

tanggungjawab serta saling bantu-membantu antara satu sama lain, sifat atau akhlak yang mulia amat ditekankan oleh Islam. Mereka juga ditiupkan dengan semangat kerjasama dan perpaduan dengan menganggap bahawa seluruh umat Islam adalah satu anggota. Semangat tersebut telah memunculkan konsepsi bahawa seluruh umat Islam di dunia ini adalah saudara. Dengan cara ini, wujudnya masyarakat yang bersatu-padu dan mempunyai hubungan yang erat tanpa mengira bangsa dan kaum.

KESIMPULAN Keseluruhannya, terdapat pelbagai teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara. Antaranya termasuklah teori kedatangan Islam dari India, teori kedatangan Islam dari China dan teori kedatangan Islam dari Tanah Arab. Cara-cara kedatangan Islam ke Asia Tenggara ialah melalui perdagangan, yang paling nyata sekali dipercayai disebarkan oleh para pedagang Arab, Cina dan India yang telah lama menjalin hubungan perdagangan dengan pelabuhan utama di Asia tenggara. Selain itu perkahwinan juga merupakan salah satu caranya Islam disebarkan ke seluruh Asia Tenggara iaitu malalui perkahwinan biasa dan perkahwinan siasah. Tamadun Islam banyak memberi sumbangan kepada Negara-negara Asia Tenggara dalam pelbagai aspek seperti ilm pengetahuan, ekonomi, politik, sosial, kesenian dan akidah tauhid. Dari aspek ilmu pengetahuan, Islam menyuruh umatnya agar menuntut ilmu pengetahuan kerana ilmu itu dapat mengembangkan tamadun dan tujuan utamanya adalah untuk mengenali pencipta bumi iaitu Allah. Manakala dari aspek Ekonomi, sebuah system ekonomi yang sempurna bagi memgembangkan tamadun telah disediakan oleh Tamadun Islam. Sains dan teknologi dan pendidikan yang mencapai perkembangan dan bentuk negara dengan pentadbiran yang tersusun merupakan sumbangan Tamadun Islam kepada Asia Tenggara dari aspek kesenian. Dari segi sosial pula, konsep persamaan taraf telah dipraktikan untuk menggantikan sistem kasta yang membahagikan masyarakatnya kepada beberapa kumpulan dan peringkat. Sistem ini seterusnya dapat mewujudkan perpaduan, kemesraan dan semangat saling membantu di kalangan masyarakat.

BIBLIOGRAFI Tinggi, N. A. (2010). Islam Di Asia Tenggara. Retrieved October 30, 2013, dari Portal Rasmi Kementerian Pendidikan : http://www.moe.gov.my/bpk/v2/download/eKIS/Nota%20T4/T4%20BAB%207.pdf

Ahmad Zaki Abd. Latiff (et.al). (2009). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Shah Alam: Oxford Fajar

M. Rajendran (1993), Sejarah Islam. Petaling Jaya: IBS Buku, c. 2, h. 363.

Yusof, M.I. (2002). Buku Teks Sejarah Tingkatan 4. Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka

Syarifah, M.A.(2013). Tamadun Islam Di Asia Tenggara. 1 Jun 2013, dari Wikipedia: http://ms.wikipedia.org/wiki/Tamadun_Islam

Elmi Ikhwan (2011). Tamadun Islam Dan Asia(TITAS). 02 Ogos 2011, dari slide share: http://www.slideshare.net/elmi2run/tamadun-islam-dan-asiatitas Drs. Sidi Gazalba (1983). Pandangan Islam Tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Pustaka Antara, dari http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islamdalam-kesenian.html

Al-Quran dan Terjemahannya : tafsir Al-Quaran, 1970, dari http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islam-dalam-kesenian.html

Oemar Amin Hoesin. Dr. Kultur Islam (1975). Jakarta: Bintang Bintang, cetakan Kedua, dari http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islam-dalamkesenian.html

Hasimy (1975). A. Sejarah Kebudayaan Islam. Jakarta: Bulan Bintang, dari http://076115tamadun.blogspot.com/2008/04/pengaruh-islam-dalam-kesenian.html

Related Documents


More Documents from "ciknurulfareha"