Pensejarahan Malaysia

  • Uploaded by: Arif Zai
  • 0
  • 0
  • March 2021
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pensejarahan Malaysia as PDF for free.

More details

  • Words: 5,210
  • Pages: 15
Loading documents preview...
1.0 PENDAHULUAN Menurut kamus dewan, pensejarahan bermaksud suatu penulisan ataupun karya berkaitan dengan sejarah. Pensejarahan juga boleh ditakrifkan sebagai hasil karya atau penulisan yang ditulis oleh ahli sejarah atau sejarawan. Sejarawan akan mengkaji dan menyelidik tentang zaman, masyarakat, peristiwa yang telah berlaku dan akan menghasilkan penulisan pensejarahannya. Sejarawan akan melakukan kajian dalam bidang atau mengikut kepakaran masing-masing seperti bidang politik, ekonomi, ketenteraan dan sosial. Sejarawan telah merekodkan peristiwa-peristiwa lampau melalui pelbagai cara dan kaedah termasuklah menggunakan dokumen, video dan juga audio daripada sumber-sumber lisan dan bertulis. Segala pensejarahan ini telah disimpan sama ada secara persendirian ataupun pihak kerajaan. Segala catatan dan rekod mengenai peristiwa masa lampau menjadi satu khazanah yang amat bernilai dan dianggap satu karya agung kerana ia menceritakan pelbagai rahsia mengenai peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku. Makna pensejarahan Malaysia pula membawa maksud hasil karya atau penulisan yang berkaitan dengan sejarah berkenaan Malaysia. Para sejarawan tempatan masa kini seperti Khoo Kay Kim berpendapat bahawa pensejarahan di Malaysia bermula pada zaman Kesultanan Melayu Melaka di mana pada zaman tersebut telah masuknya para ilmuwan dan teknologi untuk merekod sebarang peristiwa penting pada ketika itu melalui aktiviti perdagangan yang bergiat aktif. Pensejarahan Malaysia terbahagi kepada dua bahagian iaitu sebelum merdeka dan selepas merdeka. Pensejarahan sebelum merdeka pula terbahagi kepada dua tahap iaitu tahap ertama yang bermula pada zaman feudalism melayu dan tahap kedua bermula pensejarahan moden yang bersifat berpusatkan Eropah ( Euro-centric) yang dicatatkan oleh sejarawan British di Tanah Melayu. Selepas era kemerdekaan negara pula, perkembangan pensejarahan Malaysia yang baharu telah muncul dengan kehadiran para sejarawan tempatan yang lebih bersifat berpusatkan Malaysia (Malaysia-centric). Zaman feudalism adalah zaman pemerintahan di Tanah Melayu sebelum kedatangan penjajah barat termasuklah pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Johor-Riau, Kesultanan Pahang, Perak, Selangor, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Kelantan. Melaka yang terkenal sebagai pelabuhan entrepot di seluruh dunia telah membawa ramai alim ulama untuk masuk ke istana Melaka dan mula bergiat aktif dalam persuratan dan kesusteraan. Antara karya pensejarahan pada zaman feudal Melayu termasuklah melalui penulisan berkenaan salasilah raja-raja, peraturan dan undang-undang negeri, hikayat dan penulisan sastera lain seperti syair dan gurindam. Kebanyakan karya pensejarahan pada zaman 1

feudalisme Melayu dibuat atas perintah seseorang Sultan yang memerintah dan lebih bertujuan untuk mengangkat martabat dan kemuliaan seseorang Sultan dan golongan diraja. Corak penulisan pensejarahan pada zaman feudalisme Melayu tidak begitu mementingkan kesahihan dan keobjektifan penulisannya kerana dicampur aduk dengan pelbagai unsur seperti dongeng, mitos dan lagenda dan naratifnya banyak berkisar di istana semata-mata. 1.1 Wacana Karya Agung Sastera sejarah merupakan Kesusasteraan Melayu Lama yang mempunyai sifat–sifat tempatan dari segi isinya iaitu yang bercorak sejarah. Karya – karya yang bersifat sejarah cukup bernilai kerana ianya adalah bukti dan sumber sejarah yang berlaku pada masa dahulu. Secara amnya, karya – karya sastera sejarah banyak menceritakan kisah kegemilangan negara-negara Melayu lama. Menurut kamus dewan, karya merupakan kerja, buatan atau ciptaan, manakala agung pula merupakan besar, terutama, teristimewa. Oleh yang demikian, karya agung membawa maksud sebuah hasil penulisan yang istimewa yang telah diterbitkan pada suatu masa dahulu dan juga merupakan karya yang istimewa kerana ia memaparkan pemikiran bangsa Melayu zaman dahulu selaku orang-orang yang telah membuka negara dan ia juga menceritakan pelbagai kisah yang menyimpan dan merekodkan pelbagai rahsia serta perjalanan dahulukala. Karya agung dapat dikelaskan sebagai dua bahagian iaitu mitos dan sejarah. Hal ini demikian kerana sifat karya agung tersebut yang terdiri daripada kisah zaman pemerintahan raja-raja yang sememangnya tercatat dalam sejarah disamping turut terselit unsur mitos, lagenda mahupun humor dalam karya agung tersebut. Karya Agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tidak mengambil kira kelompok bangsa/etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, atau orang Aceh, orang Bugis, orang Minangkabau, dan lain-lain yang menghasilkan karya itu. Dari segi ini sempadan geografi dan etnik tidak timbul, tidak kira di manakah daerah asalnya di Dunia Melayu ini, dan mampu mencetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-menurun. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa karya agung ialah karya yang dihasilkan oleh seseorang pengarang atau tukang cerita untuk menceritakan tentang kehidupan masyarakat Melayu. Karya agung juga merupakan karya yang tinggi nilainya dan diangkat oleh masyarakat sebagai sebuah karya khazanah atau pun karya untuk masyarakat.

2

1.2 Sinopsis Karya-karya pensejarahan Melayu tradisional seperti Sulalatus Salatin dan Tuhfat al-Nafis terikat pada tema penceritaan terhadap asal usul dan salasilah raja-raja yang memerintah, selain tema penceritaan yang berkait dengan peristiwa politik dan pentadbiran dalam kalangan pemerintah. Karya Sulalatus Salatin yang juga turut dikenali sebagai Sejarah Melayu merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka. Karya ini bersifat sastera sejarah kerana terdapat unsur mitos, lagenda, tiada tarikh dan sebagainya. Contohnya perkara yang betul-betul benar adalah mengenai zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan perkara-perkara mitos pula ialah mengenai tulah raja. Tulah ini dianggap sebagai satu bala yang akan menimpa sesiapa yang tidak mengikut arahan ataupun menghina raja. Tulah ini merupakan satu daripada mitosmitos yang ditulis sebagai pengikat taat setia rakyat kepada pemerintah dengan menggunakan ketakutan terhadap kehebatan dan keagungan seorang raja. Selain itu, secara keseluruhannya, karya Sulalatus Salatin ini menceritakan mengenai tampuk pemerintahan zaman kesultanan Melaka, pembukaan negeri, kepahlawanan pendekar Melayu serta turut menceritakan mengenai ketatanegaraan. Sulalatus Salatin menceritakan tentang raja-raja Melaka seramai sepuluh orang yang memerintah Melaka. Tun Seri Lanang, bendahara Johor pada ketika itu menceritakan pemerintah Melaka seorang demi seorang bermulalah daripada Raja Iskandar Zulkarnain sehinggalah Sultan Mahmud dan sewaktu Melaka mencapai zaman kegemilangan hinggalah Melaka menuju zaman kejatuhannya. Pada cerita terakhir dikisahkan angkatan Portugis yang diketuai oleh Alfonso d‟Albuquerque menyerang Melaka. Akhirnya Melaka tewas kepada Portugis dan menyebabkan Sultan Mahmud lari ke negeri Pahang. Sulalatus Salatin memaparkan 34 kisah yang meyingkap mengenai pemerintahan Melayu Melaka dan kisahkisah yang boleh dijadikan ikhtibar oleh masyarakat. Peristiwa yang berlaku sepanjang penceritaan di dalam karya agung Sulalatus Salatin ini mengambil kira kawasan latar tempat yang luas serta perjalanan latar masa yang panjang. Latar tempat yang diceritakan di dalam Hikayat Sejarah Melayu ini tidak hanya berfokus di negeri Melaka semata-mata malahan turut berlaku di tempat-tempat lain seperti Majapahit, Siam, China, Keling dan sebagainya. Manakala perjalanan masa penceritaan pula mengambil kira dari awal zaman pembukaan kota Melaka sehinggalah pada akhir kejaatuhan Melaka ke tangan Portugis yang kira-kira melebihi seratus tahun. Manakala latar masa perkembangan cerita di dalam hikayat ini juga mengambil masa yang lama iaitu melebihi seratus tahun. 3

Pengkisahan yang berlaku adalah di sekitar raja-raja Melayu bertujuan untuk menggambarkan kedudukan dan kebesaran raja-raja Melayu Melaka yang memerintah dan keagungan yang diperintah oleh mereka. Di samping itu, Hikayat Abdullah Munsyi adalah satu karya penulisan yang ditulis oleh Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi berkaitan tentang suatu gambaran mengenai corak-corak kehidupan masyarakat di negeri Melaka pada sekitar tahun 1800 hingga tahun 1840-an. Perkataan Munsyi bukanlah sebahagian daripada nama beliau, bahkan ia merupakan salah satu gelaran yang diambil dari bahasa hindustan yang bermaksud seorang guru. Peristiwa yang berlaku dialami, dilihat dan didengar sendiri oleh Abdullah Munsyi (Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi). Hikayat Abdullah ini ditulis oleh beliau semasa beliau menetap di Singapura dan walaupun ia menceritakan tentang perjalanan hidup beliau, namun penulisannya dipertikaikan kesahihan dan keobjektifan kerana kurangnya maklumat terperinci seperti tarikh yang spesifik atau releven. Hikayat Abdullah bukan berupa penulisan sejarah atau politik yang tulen kerana ia tidak

membentangkan

analisis

sejarah

yang

mengesahkan

pergolakan

politik

dan

pemerintahan. Buku ini lebih cenderung kepada pendekatan sejarah sosial. Hikayat Abdullah mengandungi riwayat hidup Abdullah, keturunan, perihal zaman kanak-kanak, zaman persekolahan, serta minat dan latar belakang keluarga beliau. Namun semua itu hanya terkandung pada permulaan hikayat ini sahaja iaitu sebagian kecil sahaja daripada penceritaan Hikayat Abdullah. Sebahagian besar yang dikisahkan di dalam Hikayat Abdullah adalah berkaitan peristiwa harian terutamanya yang berkaitan dengan perhubungan dan pengalaman Abdullah sendiri dengan orang-orang Inggeris, iaitu para pegawai Inggeris yang bekerja di dalam kerajaan atau di luar kerajaan, selain itu, penceritaan ini juga berhubungan tentang penduduk tempatan dengan pemerintah. Dalam Hikayat Abdullah ini juga, Abdullah sering menceritakan tentang cara pemikiran dan falsafah beliau terhadap beberapa isu seperti bahasa Melayu, sikap orang Melayu, kehebatan teknologi orang Eropah, dan berkenaan sistem pemerintahan Inggeris. Hikayat ini juga cuba memaparkan sejarah sosial pada zaman Abdullah Munsyi semasa beliau tinggal di Melaka. Pendekatan sejarah sosial ini cuba melihat sejarah dari satu sudut di mana tiada perkaitan antara politik yang sering dikaitkan dengan bias dalam penulisan tetapi lebih tertumpu kepada suasana atau keadaaan kehidupan hubungan masyarakat. Kehidupan sosial ini termasuklah dari segi budaya pemakaian, percakapan, pergaulan, sistem ekonomi, pendidikan, bahasa, adat resam, dan juga cara pemikiran masyarakat setempat. Suasana ini dapat dilihat melalui pergerakan seharian dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Skop sosial ini juga meliputi 4

perhubungan para penduduk dengan pihak pemerintah dalam sesuatu zaman. Oleh yang demikian, sudut sejarah sosial lebih bersifat objektif dan tidak prejudis. Sejarah sosial tidak dipengaruhi unsur „siapa yang benar, siapa yang salah‟ kerana segala peristiwa yang telah berlaku itu, memang benar-benar berlaku, berpadanan dengan suasana persekitaran dan corak pemerintahan serta politik sezaman. Semua ini menjadi sebahagian daripada apa yang dikatakan dan diakui sebagai fakta-fakta sejarah. 2.0 JATI DIRI BANGSA Jati diri ialah adalah sifat keperibadian atau ciri unik, utuh dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya dan agama yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu atau bangsa. Dalam karya-karya agung yang telah ditulis oleh tokoh-tokoh terdahulu, terdapat banyak nilai-nilai jati diri yang dapat ditemui daripada penceritaan mengenai keadaan sosial masyarakat pada zaman itu kerana identiti masyarakat yang dapat dinilai melalui pemerhatian penulis tidak mungkin direka semata-mata. Antara nilai-nilai jati diri termasuklah amanah, jujur, bijak, cergas, dedikasi, bertanggungjawab, berdikari, telus, elok peribadi, gigih, motivasi tinggi, dan beriman. Melalui penulisan karya-karya agung, kita akan dapat mempelajari dengan lebih mendalam akan pembentukan jati diri bangsa melayu yang terdahulu. Nilai tersebut diperturunkan secara tidak langsung melalui pengkisahan cerita-cerita yang ditulis oleh pengarang sama ada mengenai kisah dirinya mahupun kisah mengenai corak kehidupan masyarakat. Nilai jati diri yang pertama yang paling jelas dapat dilihat pada zaman dahulu adalah nilai ketaatan dan kepatuhan terhadap perintah dan ungkapan sultan mahupun raja yang memerintah. Jati diri bangsa Melayu ini digambarkan oleh pengarang sebagai satu bangsa yang mempunyai nilai penghambaan yang tinggi kepada sultan melalui nilai taat dan patuh kepada sultan dan raja disebabkan oleh beberapa kepercayaan yang diselitkan unsur mitos akan kehebatan sultan. Kepercayaan akan kehebatan sultan yang mempunyai leluhur yang sangat hebat dan mulia serta kepercayaan akan tulah yang akan menimpa si penderhaka sultan adalah faktor pengikat taat setia masyarakat pada ketika itu. Ketaatan ini telah digambarkan dalam penceritaan Sejarah Melayu melalui kisah-kisah seperti peristiwa pembunuhan Tun Besar, anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak oleh Raja Ahmad. Walaupun terdapat segelintir masyarakat dan pengikut Paduka Raja yang sanggup menderhaka dan bersedia menuntut bela atas kematian Tun Besar walaupun ditimpa tulah sekalipun, namun Tun Perak enggan menderhaka kepada rajanya disebabkan “adat hamba Melayu tiada derhaka kepada tuannya”. 5

Selain itu, penceritaan akan tulah ataupun bala yang menjadi punca ketakutan yang menyebabkan rakyat tidak berani untuk menderhaka kepada pemerintah turut banyak diselitkan antaranya adalah penceritaan mengenai kisah pembesar Singapura, Sang Rajuna Tapa dan isterinya. Pembesar ini telah menderhaka kepada raja Iskandar Syah dengan membelot berkomplot dengan angkatan tentera perang Majapahit sewaktu Majapahit melanggar Singapura. Perbuatan belot ini dikatan adalah punca daripada pembunuhan anak Sang Rajuna Tapa akibat fitnah daripada raja. Dan pada akhirnya, sebelum Sang Rajuna Tapa lari daripada Singapura, dia dan isterinya telah disumpah menjadi batu dan ini merupakan salah satu tulah akibat menderhaka raja. Peristiwa ini menceritakan tentang betapa pentingnya sumpah taat setia seorang rakyat kepada raja sehingga rakyat tidak boleh menderhaka walaupun sultan raja tersebut adalah raja yang sangat kejam dan zalim. Nilai jati diri ini menunjukkan betapa taat dan setianya rakyat kepada raja tidak kira apa jua sekalipun yang berlaku. Berdasarkan konsep ikatan daulat dan konsep tulah inilah maka orang Melayu dilihat sangat mentaati rajanya yang dianggap sangat mulia kerana keturunan leluhurnya. Kepercayaan-kepercayaan yang disebabkan adat resam yang mundur ini turut mempengaruhi pegangan hidup walaupun setelah kedatangan Islam ke Melaka pada ketika itu. Pegangan agama Islam pda diri masyarakat pada ketika itu amatlah lemah kerana jati diri masyarakat yang pada sebelum itu berpegang teguh pada kepercayaan agama Hindu-Buddha. Pegangan hidup mereka yang percaya akan wujudnya semangat-semangat untuk setiap benda di dunia ini ataupun lebih tepat digelar pegangan animisme masih sukar untuk dihapuskan dan telah sebati sebagai jati diri ataupun pegangan hidup mereka pada ketika itu. Hal ini dapat dilihat apabila masyarakat masih lagi mengamalkan ilmu-ilmu ghaib, mistik dan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran islam di mana masih lagi berlakunya pemujaan-pemujaan terhadap syaitan yang dilakukan oleh para bomoh tidak kiralah bertujuan untuk kesihatan, kekayaan mahupun perkara hasad dengki. Antara peristiwa yang menceritakan tentang semangat animisme dan penggunaan ilmu hitam dapat dilihat di dalam Karya Agung Sulalatus Salatin melalui kisah Hang Nadim yang cuba merampas Tun Teja dari istana Pahang dan dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah. Hang Nadim telah menggunakan ilmu guna-guna untuk mendapakan Tun Teja. Ilmu tersebut diletakkan melalui perantaraan dalam bentuk kelulut ataupun serbuk yang apabila disapu ke atas tubuh Tun Teja maka Tun Teja akan berasa berahi terhadap Sultan Mahmud Syah. Seterusnya, aktiviti pengamalan ilmu-ilmu ghaib ini turut dapat dilihat dalam peristiwa Sultan Mansur Syah yang telah membelanja sesiapa yang sanggup mempelajari ilmu gajah di 6

istana Melaka yang bersifat memuja semangat untuk menundukkan binatang-binatang liar. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya pegangan agama Islam masyarakat pada ketika itu sehingga bercampur aduk dengan pegangan-pegangan dan adat yang bertentangan dengan agama dan bersifat mundur. Manakala penulisan Abdullah dalam Hikayat Abdullah telah menceritakan jati diri masyarakat Melayu yang berada di dua persimpangan di mana pembentukan jati diri masyarakat pada ketika itu dipengaruhi dengan kehadiran pendudukan orang-orang british. Abdullah Munsyi yang memulakan penulisan bermula sejak kelahirannya pada 1796 sehinggalah pada ketika beliau menetap dan tinggal di Singapura telah mengalami keadaan sosial yang berbeza dengan masyarakat melayu yang terdahulu disebabkan pembaharuan yang dibawa oleh pihak British di Melaka. Terdapat dua golongan yang wujud pada masa itu di mana mereka mula memikirkan sama ada ingin meneruskan adat dan tradisi jati diri terdahulu yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka ataupun mengambil satu langkah besar dengan secara keterbukaan fikiran mengubah pendirian dengan menerima masuk ilmu, ideeologi dan amalan baru seiring dengan perubahan dan peredaran arus semasa. Masyarakat yang hidup sezaman dengan Abdullah Munsyi pada ketika itu masih lagi berpegang teguh atas kepercayaan karut marut yang diperturunan daripada orang-orang yang terdahulu. Ketaatan dan tunduk patuh pada sultan yang melampau walaupun dizalimi adalah disebabkan pegangan masyarakat yang percaya akan perkara tahyul dan adat resam yang mundur. Antara adat yang paling tidak masuk akal antaranya adalah adat menjual anak yang turut dilakukan oleh ibu bapa Abdullah Munsyi sendiri. Selain itu kepercayaan bahawa setiap nama yang diberi akan mempengaruhi tahap kesihatan dan pemilihan nama itu haruslah bersesuaian dengan tuan punya badan ataupun si anak kecil tersebut dan nama yang tidak sesuai boleh mengakibatkan bayi tersebut merana dengan kondisi kesihatan yang tidak menentu seperti yang diceritakan dan dikritik oleh Abdullah dalam hikayatnya “Bahawa ini pun satu adat nenek moyang bodoh, yang tiada ia mengetahui Allah Taala.... Syahadan ada pula orang yang percaya sebab nama budak itu terlalu besar itulah kononnya mendatangkan penyakit atau mati. Maka sekalian itu bohong dan adat-adat bodoh belaka.”1 Selain itu, keadaan masyarakat pada ketika itu yang masih lagi kurang terdedah dengan ilmu pengetahuan, masih lagi percaya akan perkara-perkara mistik dan penerangan sesuatu perkara dengan hujah yang tidak masuk akal seperti mana yang berlaku kepada Kota Melaka

1

Kassim Ahmad, Hikayat Abdullah, Kuala Lumpur, 2007, hlm 15

7

yang begitu sukar untuk ditembusi lantas dikaitkan dengan wujudnya para jembalang yang menjaganya sehinggakan Tuan Farquhar gagal meruntuhkan Kota Melaka. Hujah tersebut tidak boleh dipakai dan sebetulnya kekebalan Kota Melaka adalah disebabkan kekuatan Kota Melaka itu sendiri di mana pusat pentadbirannya yang terletak di atas gunung yang memberi kelebihan dengan mampu memerhatikan gerak geri dan susun atur strategi musuh. Dan kritikan yang diberikan oleh Abdullah terhadap masyarakat yang percaya akan kehebatan Encik Sulung atau lebih dikenali sebagai Pawang Gajah yang begitu mahir menjinakkan adalah disebabkan oleh kebolehan ilmu gajah ataupun pemujaan roh bagi menjinakkan haiwan liar. Ketaksuban itu telah membuatkan masyarakat mereka cerita dan menokok tambah dengan segala kepercayaan karut mereka sedangkan bagi Abdullah, peristiwa Pawang gajah menundukkan hampir 63 ekor gajah itu sebagai satu perkara yang bukanlah luar biasa dan boleh dilakukan dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan tanpa perlu menggunakan ilmu mistik mahupun jin. Seterusnya, gaya pemikiran dan pegangan hidup masyarakat melayu pada ketika itu agak mundur dan kolot. Pegangan Islam yang lemah membuatkan mereka memandang agama itu satu perkara yang lain daripada hal ehwal dunia, sedangkan agama itu adalah merangkumi segalanya. Pemikiran yang sempit ini dapat dilihat sehinggakan ibu bapa mencegah anak-anak mereka untuk mempelajari ilmu bahasa Inggeris mahupun menuntut ilmu daripada orang Inggeris kerana bimbang akan pegangan tauhid yang akan bergoyah dan beranggapan bahawa ilmu Inggeris akan menyebabkan mereka murtad, terkeluar daripada agama Islam dan masuk Kristian. Kepercayaan kolot ini sangat dikritik oleh Abdullah dan Abdullah sendiri telah berdialog dengan masyarakat mengenai perkara ini seperti yang ditulis dalam hikayat beliau, “ Jangan baca kitab ini. Buangkan, karena ini kitab orang putih. Nanti rosak iman kita.” Maka jawabku kepada mereka itu, “Bagaimana engkau boleh tau ini kitab orang putih? Bukankah ini bahasa Melayu? Dan bolehkah ia ini merosakkan iman kita? Apakah ertinya iman itu?... ertiya iman itu kuketahui, percaya. Maka jikalau kiranya tiada percaya aku akan dia, bolehkah rosak iman? ....” Maka diamlah mereka itu.”2 Sepanjang penceritaan beliau di dalam hikayatnya, dapatlah dinilai bahawa masyarakat pada zaman tersebut masih lagi berfikiran kolot dan tertutup. Nilai jati diri yang dimiliki bersifat tradisional yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka serta mempunyai nilai yang hampir sama sewaktu dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka dan tidak ramai yang memilih untuk mengubah jati diri walaupun pihak Inggeris telah membawa masuk pelbagai kecanggihan teknologi serta cara pemikiran baru yang lebih terbuka. Ilmu pengetahuan yang cetek turut 2

Ibid., hlm. 102

8

mempengaruhi nilai jati diri masyarakat. Jati diri masyarakat pada ketika itu dilihat kekal dengan kepercayaan terhadap adat dan kepercayaan tertentu yang kadangkala bersikap jumud dan tertutup daripada arus perubahan semasa pada waktu itu. Akhir sekali, nilai jati diri yang dapat dihuraikan daripada Hikayat Abdullah adalah dengan memerhatikan nilai-nilai jati diri yang ditonjolkan sendiri oleh Abdullah Munsyi sepanjang perjalanan hidup beliau melalui penulisannya. Beliau merupakan seorang yang berfikiran sangat terbuka dan luas serta sering mengkritik dan berfalsafah. Sikap pemikirannya yang realistik dan terbuka membuatkan beliau tidak mudah terpengaruh dengan sebarang anasiranasir yang cuba menyempitkan had pemikiran sehinggalah beliau telah menafsir sendiri Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu. Keteguhan pegangan dan pendirian yang diperoleh daripada ilmu pengetahuannya membuatkannya lebih ke hadapan kerana berani mencuba sesuatu yang baru tanpa bimbang akan kehilangan perkara yang lalu. Bapa Abdullah dikatakan seorang yang jurutulis yang bijak dan berilmu serta sering berurusan dengan pihak British, namun beliau sendiri dilihat menentang keterbukaan Abdullah apabila anaknya bertindak belajar di sekolah mubaligh, Anglo-Chinese College. Nilai pemikiran terbuka dan realistik ini jugalah yang membuatkan Abdullah berminat akan bidang sains dan teknologi serta membuatkannya mencari setiap jawapan bagi sebarang permasalahan yang berkaitan dengan kepercayaan karut masyarakat di samping berjaya mengikis perkara-perkara kolot dalam masyarakat. Abdullah dilihat sebagai seorang yang sangat menyokong British dan bersifat kebaratan dengan mempelajari segala ilmu Inggeris dan mendampingi orang-orang Inggeris, namun nilai jati beliau sangat tinggi berbanding masyarakat pada ketika itu. Jika dilihat, Abdullah merupakan seorang yang sangat berbeza berbanding masyarakat dengan menentang segala kefahaman dan pegangan masyarakat Melayu pada ketika itu. Hal ini kerana, Abdullah sentiasa berfikir dan mencari ilmu untuk memajukan dirinya dan masyarakat Melayu yang berfikiran kolot pada ketika itu. Abdullah sering memikirkan mengenai nasib bangsanya yang mundur dan beliau menulis kritikan-kritikan di dalam hikayatnya mengenai segala hal akan perilakau dan adat resam Melayu serta kemunduran yang disebabkan oleh masyarakat Melayu sendiri yang tidak mahu berubah. Keriasaunnya ditulis kerana semangat jati dirinya yang cinta akan bangsanya untuk melihat bangsanya terus maju. Antara kritikan yang ditulis ialah, “ Adapun segala hal ehwal mereka itu sekalian senantiasa bersama-sama dengan aku. Maka kulihat hal ehwal mereka itu dan tabiat mereka itu dan kelakuan mereka itu dan adat mereka itu daripada kecilku sampailah sekian umurku, maka kuperhatikan juga, maka adalah kudapati bangsa

9

Melayu itu makin lama usahkan makin pandai, makin pula bodohnya, adanya,” 3 dan sayangnya Abdullah tidak berhenti sampai di situ, bahkan beliau telah mencuba untuk menyusun semula tatabahasa Bahasa Melayu sebagai panduan masyarakat akan datang seperti yang ditulisnya mengenai usaha pemikiran tersebut, “....Bermula bahasa Melayu ini bukankah seperti hutan rimba besar keadaannya, penuh dengan semak samun dan duri pun berceracangan dan akar pun bersengkarut, dan kayu pun lintang-pukang dan lorongnya pun simpang-siur dan tanahnya pun tinggi rendah? Maka daripada zaman adanya bahasa itu sampai sekarang ini adakah seorang yang bernafsu hendak membetulkan atau mengaturkan jalannya atau hukumnya?”.4 3.0 PERANAN WANITA Wanita merupakan seseorang yang menjadi tonggak kepada pembangunan seorang lelaki. Kewujudan watak kaum wanita dalam sesuatu karya adalah suatu pelengkap bagi karya tersebut. Masyarakat Barat hanya mula menyedari peranan kaum wabita dalam waktu-waktu peperangan sekitar 1970-an. Sebaliknya, masyarakat Melayu telah lama menyedari kepentingan dan peranan yang dimainkan kaum wanita. Tidak menghairankan, gerakan fenimisme ataupun golongan memperjuangkan hak wanita tidak pernah wujud dalam sejarah peradaban Melayu. Penulis karya Sejarah Melayu telah berjaya menyelitkan beberapa ciri citra wanita dalam karya tersebut. Dalam Sejarah Melayu terdapat banyak watak wanita yang diceritakan dan antaranya ialah Tun Fatimah, Puteri Syahrul Bariyah, Puteri Gunung Ledang, Tun Teja, Tuan Puteri Nai Kasuma dan sebagainya. Antara watak utama yang dapat dilihat memainkan peranan penting bagi sesuatu peristiwa antaranya adalah Puteri Gunung Ledang. Kisah Puteri Gunung Ledang merupakan antara salah satu kisah yang terkenal yang diperturunkan sehingga kini oleh ibu bapa kepada anak-anak. Daia merupakan seorang wanita yang sangat berani dan tegas dengan keputusan yang dibuatnya. Antara petikan yang menunjukkan keberanian Puteri Gunung Ledang dengan meletakkan syarat yang tinggi kepada Sultan Mahmud Syah sebagai syarat peminangan ialah “Jikalau Raja Melaka hendak akan daku, buatkanlah aku jambatan emas satu, jambatan perak satu, dari Melaka datang ke Gunung Ledang. Akan peminangnya, hati nyamuk, tujuh dulang; hati kuman, tujuh dulang; air pinang muda setempayan; air mata setempayan; darah Raja semangkuk; dan darah anak-anak raha semangkuk. Jika demikian maka kabullah hamba akan kehendak Raja Melaka itu.”5 Hal ini menjelaskan bahawa wanita tidak sewenang-wenangnya 3

Ibid., hlm. 344-345 Ibid., hlm. 249 5 Sulalat al-Salatin ya’ ni perturun Segala Raja-Raja (2009), hlm 124 4

10

boleh dimiliki dan dijadikan isteri. Walaupun yang ingin meminangnya adalah Raja Melaka, tetapi Puteri Gunung Ledang tidak berasa gentar untuk meletakkan syarat untuk meminangnya. Selain itu, tindakan Puteri Gunung Ledang tersebut juga dianggap sebagai satu langkah untuk menyedarkan Sultan Mahmud Syah akan sikap baginda yang terlalu bertindak mengikut sesuka hatinya tanpa menghiraukan orang lain. Watak wanita yang turut diceritakan di dalam Sejarah Melayu ialah Tun Fatimah. Tun Fatimah merupakan anak perempuan bongsu kepada Bendahara Seri Nara Di Raja Tun Ali dengan Tun Kudu juga adik kepada Bendahara Tun Mutahir. Beliau telah berkahwin dengan Sultan Mahmud Shah selepas kesemua adik beradik lelaki beliau dihukum bunuh kerana difitnah oleh kalangan orang istana sendiri. Tun Fatimah telah mengugut untuk membunuh anak dalam kandungannya kerana tidak menyukai Sultan Mahmud Syah yang telah membunuh seluruh ahli keluarganya. Disebabkan kemurungan dan sikap dingin Tun Fatimah terhadap Sultan Mahmud Syah, baginda telah sanggup untuk berjanji akan merajakan anak yang dilahirkan Tun Fatimah supaya Tun Fatimah tidak membahayakan dirinya dengan menggugurkan kandungan tersebut. Perkara ini telah ditulis di dalam Sejarah Melayu, “Sebermula Sultan Mahmud Syah terlalu kasih akan Tun Fatimah, disuruh baginda panggil Raja Perempuan, tetapi jikalau baginda bunting dengan Sultan Mahmud Syah disuruh buangkan. Maka du(a) tiga kali sudah demikian. Titah Sultan Mahmud Syah pada Tun Fatimah, “Mengapakah tuan bunting dibuang? Tiada suka tuan beranak beta?” Maka sahut Tun Fatimah, “ Apakah kerja raja beranak dengan beta lagi, karena anak raja yang kerajaan telah ada.” Maka titah Sultan Mahmud Syah, “Adapun janganlah dibuang anak kita ini. Jika laki-laki ialah kita rajakan.”6 Penulis menunjukkan bahawa Tun Fatimah mampu mengikat Sultan Mahmud Syah yang terkenal dengan kezaliman dan sikap yang suka berfoya-foya sehinggalah Sultan Mahmud sanggup merajakan anaknya hasil bersama Tun Fatimah walaupun Tun Fatimah bukanlah isteri pertamanya yang mempunyai keutamaan. Akhir sekali, peranan wanita yang terbesar dapat dilihat ialah wanita mampu menguasai tampuk politik walaupun tidak memegang sebarang jawatan sebagai ketua ataupun pemerintah negara. Hal ini dapat dilihat melalui penceritaan mengenai perlantikan Bendahara Melaka. Sewaktu Sultan Mahmud Syah mencari pengganti Bendahara, bonda ataupun ibu kepada Sultan Mahmud Syah telah menyebut nama Tun Mutahir, abang kepada bondanya dan juga

6

Ibid., hlm 210

11

merupakan bapa saudara Sultan Mahmud Syah. Nama Tun Mutahir telah ditekankan dan akhirnya Sultan Mahmud Syah memilih Tun Mutahir sebagai Bendahara Melaka yang baru. Perlantikan ini telah menunjukkan tentang betapa hebatnya wanita yang mampu menjadi punca kepada pemilihan tampuk kepimpinan tanpa perlu memegang status sebagai pemerintah. Pemilihan Tun Mutahir juga bukanlah kerana atas sebab kerabat tetapi adalah disebabkan ketrampilan diri yang ditonjolkan oleh Tun Mutahir sendiri. oleh itu, dapat dijelaskan bahawa sewaktu ketandusan idea, wanita akan turut sama tampil membantu menjayakan rancangan. Penulisan mengenai peranan wanita yang boleh dikupas melalui hasil karya yang sseterusnya dapat dilihat di dalam karya Hikayat Abdullah. Hikayat Abdullah yang berkisarkan mengenai kehidupan sehariannya menyebabkan kurangnya watak wanita. Antara watak yang disenaraikan di dalam penulisan beliau ialah neneknya sendiri, Peri Achi, ibunya, Salamah dan juga isteri kepada Tuan Raffles. Hal ini disebabkan kurangya perhubungan Abdullah bersama wanita dan penilaian peranan wanita itu hanya boleh dibuat bedasarkan wanita yang berkait rapat dengan hidupnya sahaja. Namun peranan yang dapat dinyatakan tidak kurang peri pentingnya di mana jika kita dapat lihat bahawa nenek kepada Abdullah iaitu Peri Achi itu sendiri merupakan seorang guru besar di sekolah terletak di Kampung Pali. Sekolah tersebut menekankan pelajaran membaca, menulis dan mengaji al-Quran. Abdullah juga turut mendapat pendidikan awal bersama neneknya semasa ayahnya pergi meninggalkannya dalam satu tempoh masa untuk berniaga di Siak. Jika dilihat dengan lebih teliti, peranan wanita sebagai guru nerupakan satu peranan yang paling besar dan utama kerana tanpa guru manusia tidak mungkin akan berjaya. Wanita turut terlibat sama dalam usaha membangunkan dan menyedarkan masyarakat melalui ilmu pengetahuan dan pendidikan. Ibu Abdullah pula, Salamah, dia boeh dikategorikan sebagai pelengkap dalam membentuk Abdullah yang telah menjadi seorang tokoh yang sangat terkenal hingga kini disebabkan penghasilan Karya Agung Hikayat Abdullah. Bapa Abdullah yang mempunyai banyak ilmu pengetahuan dan proses pengajaran dan pembelajaran yang diguna pakai adalah berasakan penekanan displin disebabkan kriteria ayahnya yang agak tegas dan keras dalam memastikan anak tunggalnya itu akan menjadi orang yang berjaya. Kecekalan Abdullah untuk menuntut ilmu adalah bersumberkan daripada sikap kasih sayang dan perhatian yang dicurahkan oleh ibunya. Beliau sentiasa menasihatkan Abdullah untuk bersabar dalam menuntut ilmu namun tidak pernah sekalipun dia mencampuri urusan suaminya dalam mendidik anak dengan cara suaminya sendiri kerana dia sedar akan kebaikan yang akan diperolehi daripada cara tersebut dan sentiasa menyokong tindakan suaminya. Peranan Salamah sebagai 12

seorang ibu penyayang dan isteri yang memahami membuatkan keluarga mereka bahagia dan membentuk sikap peribadi yang mulia pada diri Abdullah. Dan peranan wanita yang dapat dihuraikan akhir sekali adalah melalui pemerhatian Abdullah terhadap isteri Tuan Raffles. Watak isteri Tuan Raflles menggambarkan tentang ciriciri wanita barat yang berpekerti tinggi. Perwatakan yang dipamerkan oleh isteri Tuan Raffles adalah bersesuaian dengan jawatan yang dipegang oleh suaminya yang digelar sebagai golongan atasan yang mementingkan akan etika dan adab dari pelbagai sudut. Namun etika dan adab yang dipraktikkan oleh barat adalah sedikit berbeza jika dibandingkan dengan masyarakat melayu. Oleh itu, penilaian yang dibuat terhadap isteri Tuan Raffles haruslah dengan bersandarkan pada budaya dan masyarakat Barat. Abdullah telah menulis mengenai ketrampilan diri isteri Tuan Raffles dalam karya agungnya seperti petikan yang berikut, “Mengenai isteri Tuan Raffles, kulihat dia bukan sembarang perempuan. Setiap hari dia seperti suaminya. Semua kerjanya dilakukan dengan tertib dan sopan dan berwajah manis apabila bertemu dengan orang sama ada miskin ataupun kaya.” 4.0 RUMUSAN Penulisan kedua-dua hikayat ini bukanlah pada zaman yang sama namun jika dilihat secara keseluruhannya, nilai-nilai jati diri yahng ditonolkan oleh masyarakat kedua-dua zaman adalah hampir sama. Nilai ketaatan dan kepatuhan kepada raja yang melampau-lampau sehingga menderhaka kepada raja yang zalim sekalipun dilarang kerana bimbang akan ditimpa tulah merupakan satu nilai yang telah diterapkan dari zaman berzaman bagi mewujudan sistem pemerintahan yang teratur. Namun kesan akibat daripada nilai tersebut, raja telah menjadi satu entiti yang paling berkuasa ke atas semua mahluk sedangkan hanya tuhan yang berhak menguasai makhluk. Setiap kesalahan yang dilakukan oleh raja tidak boleh ditegur dan arahan raja harus dipatuhi. Nilai ini mudah untuk diserap oleh masyarakat melayu pada ketika itu kerana kurangnya ilmu pengetahuan dan sering dimomok-momokkan dengan cerita-cerita mitos, lagenda dan palsu. Jika dibandingkan pada masa kini, nilai ketaatan dan kepatuhan kepada raja ataupun pemerintah masih lagi wujud dan seharusnya dipupuk dalam diri setiap lapisan masyarakat. Namun wujudnya had dalam memberi taat setia kepada pemerintah jika pemerintah tersebut berlaku zalim maka rakyat berhak membangkang dan menukar pemerintah. Raja tidak lagi berkuasa mutlak dan boleh ditegur jika melakukan kesilapan. Nilai jati diri yang seterusnya dapat disimpulkan bahawa pegangan terhadap kepercayaan karut terhadap perkara-perkara magis dan ilmu-ilmu ghaib telah menjadi satu 13

daripada pegangan hidup masyarakat terdahulu. Pepatah ada mengatakan bahawa biar mati anak jangan mati adat adalah salah satu peribahasa yang paling sesuai untuk menceritakan perihal masyarakat terdahulu dimana sehingga mereka sanggup menjual anak disebabkan adat yang diperturunkan daripada nenek moyang mereka yang tidak berasas dan kolot. Mereka berfikiran sempit dan terutup akibat daripada kurangnya ilmu pengetahuan dan hanya mampu mengikut sahaja amalan nenek-moyang mereka tanpa pernah mempertikaikan sebarang persoalan kerana menganggap masyarakat terdahulu lebih tahu. Nilai jati diri ini tidak sesuai untuk dikekalkan di mana ia hanya akan membuatkan masyarakat menjadi mundur. Masyarakat masa kini sudah lebih terdedah akan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang canggih dan maklumat boleh diperolehi dengan mudah menggunakan internet lantas mampu mendedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Setiap persoalan-persoalan yang timbul menandakan rangsangan pemikiran berlaku akan dapat dijawab dengan mudah dan rasionalaiti sesuatu perlakuan itu akan dapat dinilai secara terus yang akan mewujudkan satu masyarakat yang mempunyai tahap pemikiran yang lebih tinggi. Nilai jati diri yang paling utama yang harus wujud dalam diri setiap masyarakat adalah nialai kasih dan sayang akan bangsa sendiri. Nilai ini merupakan tunggak utama yang telah dipamerkan dalam penulisan Hikayat Abdullah melalui diri Abdullah itu sendiri yang mengkritik bukan kerana membenci namun mengkritik untuk menyedarkan masyarakat yang telah lama lena dibuai mimpi. Nilai jati diri ini akan menentukan sama ada sesuatu bangsa atau masyarakat itu mempunyai jati diri ataupun tidak kerana selagi setiap manusia mengamalkan kasih sayang, selagi itulah generasi baru yang lahir akan terus berkembang dan meneruskan legasi masyarakat yang terdahulu. Setiap perkara itu boleh diubah mengikut peredaran masa dalam mencari kesempurnaan, namun kesempurnaan itu tidak akan boleh diperolehi selagi tiada semangat cintakan, bangsa dan negara dalam diri setiap manusia yang akan berkembang menjadi satu jati diri yang mantap. Pembentukan sesebuah negara dan bangsa terletaak pada tangan pemimpinnya dan dibelakang setiap pemimpin yang berjaya itu adanya wanita hebat yang mebantu dari pelbagai aspek. Peranan wanita dapat dilihat dari sudut wanita sebagai ibu, isteri, dan adik beradik yang mampu mempengaruhi kestabilan masyarakat. Kehebatan wanita dalam membentuk seorang pemimpin berjaya harus ditekankan seperti mana nenek dan ibu Abdullah yang sentiasa membantu dalam usaha melahirkan Abdullah menjadi insan yang berjaya dan ternyata beliau kini telah tercatat sebagai seorang tokoh terkemuka tanah air. Sesungguhnya tampuk kepimpinan sesebuah negara turut memerlukan bantuan daripada wanita untuk mewujudkan 14

keamanan dan kesejahteraan seperti mana hebatnya Tun Fatimah yang mampu menjinakkan Sultan Mahmud Syah dan juga keberanian Puteri Gunung Ledang untuk menyedarkan Sultan Mahmud Syah akan sikap buruk baginda yang suka berfoya-foya dan bertindak mengikut sesuka hatinya.

15

Related Documents

Pensejarahan Malaysia
March 2021 0
Aeon Co Malaysia
February 2021 0
Iptv Astro Malaysia
March 2021 0
Malaysia: 1vb2s-440e5
January 2021 0

More Documents from "Encik Anif"