Pendedahan Maklumat Kerjaya Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Di Kawasan Luar Bandar

  • Uploaded by: kavikesa
  • 0
  • 0
  • February 2021
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Pendedahan Maklumat Kerjaya Dalam Kalangan Pelajar Sekolah Di Kawasan Luar Bandar as PDF for free.

More details

  • Words: 2,361
  • Pages: 9
Loading documents preview...
Pendedahan Maklumat Kerjaya dalam Kalangan Pelajar Sekolah di Kawasan Luar Bandar

Pendahuluan

Pendedahan maklumat kerjaya dan pendidikan lanjutan perlu diberikan sejak pelajar di bangku sekolah. Kerjaya yang selaras dengan minat, kebolehan, personaliti serta pencapaian berupaya membantu pelajar memilih bidang pekerjaan yang bersesuaian dengan diri. Di samping itu pendedahan maklumat mengenai kebolehpasaran kerja dapat membantu pelajar memilih pekerjaan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran. Sehubungan demikian pihak sekolah perlulah memainkan peranan utama dalam usaha memberi maklumat kerjaya serta aliran atau jurusan yang selaras dengan bidang yang ingin pelajar ceburi.

Kepentingan Maklumat Kerjaya Kepada Pelajar

Menurut Rohany (2008), pelajar memerlukan kaunselor profesional untuk membantu mereka memilih, merancang dan menyelesaikan masalah kerjaya. Pemilihan aliran atau jurusan di sekolah merupakan peringkat awal yang penting sebelum proses menyalurkan para pelajar ini kepada bidang kerjaya yang sesuai. Jika perancangan kerjaya dititikberatkan, tidak berlakulah keadaan seperti pelajar yang ingin menjadi akauntan mengambil jurusan sastera di sekolah dan pelajar yang berkebolehan sebagai jurutera pula mengambil bidang perakaunan.

Jurusan atau aliran di sekolah yang selaras dengan kerjaya yang ingin diceburi bukan sahaja dapat meningkatkan minat dan usaha pelajar untuk berjaya dalam akademik malahan dapat memberikan semangat untuk mereka mencapai cita-cita mengikut minat dan kebolehan diri. Keadaan ini berlaku kerana menurut Rohany (2008), kerjaya yang diceburi seseorang individu itu adalah tanda pencapaian kendiri seseorang. Menurut beliau lagi, kebahagiaan dan kesejahteraan individu serta keluarganya adalah berkait rapat dengan perkembangan kerjaya.

Sejajar dengan kepentingan kerjaya dalam kehidupan individu, maka kini di sekolahsekolah telah disediakan perkhidmatan bimbingan dan kerjaya. Tugas ini dikendalikan oleh guru bimbingan dan kaunseling sekolah. Malahan maklumat kerjaya ini juga turut dikongsikan oleh organisasi lain seperti Institusi Pengajian Tinggi dalam usaha membantu memberi pendedahan maklumat kerjaya kepada seluruh pelajar di Malaysia.

Isu mengganggur dalam kalangan pelajar lepasan Institusi Pengajian Tinggi atau lepasan sekolah bukanlah perkara asing. Pengangguran dikaitkan dengan pelbagai faktor antaranya seperti kerjaya yang tidak sesuai dengan kelulusan, gaji yang rendah, kurang kemahiran

Bimbingan & Kaunseling 72

DP. Jilid 10, Bil. 1/2010 komunikasi, tiada ciri pemimpin, tidak tahan dengan cabaran pekerjaan, tiada kekosongan jawatan dan sebagainya. Sesetangahnya pula terlalu memilih kerja, menuntut gaji yang tinggi serta kurang berminat dengan kerja yang ditawarkan (Shamsuddin, 2007). Sehubungan keadaan ini, pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan dalam membantu pelajar lepasan Pengajian Tinggi memperoleh pekerjaan.

Seseorang individu perlu mempunyai kesedaran kerjaya iaitu dengan mengenali dan memahami pekerjaan itu serta mampu membandingkan ciri-ciri yang ada pada dirinya dengan keperluan dan ciri-ciri sesuatu pekerjaan (Rohany, 2003). Secara idealnya, seseorang itu harus menyedari kesepadanan sesuatu pekerjaan dengan kebolehan peribadinya. Secara tradisional, golongan muda akan mendapat panduan kerjaya daripada golongan yang lebih dewasa berteraskan perkongsian pengalaman. Namun pada hari ini, panduan semata-mata mungkin tidak mencukupi. Sesuatu harus dijadikan landasan untuk menentukan kesepadanan kerjaya dan individu. Tugas memberi panduan tidak lagi boleh berteraskan pengalaman dan andaian sahaja. Kesilapan membimbing golongan muda dalam pemilihan kerjaya bukan sahaja akan memberi impak kepada individu bahkan kepada masyarakat dan negara.

Generasi muda tidak lagi memperoleh kerjaya secara diwarisi seperti era silam. Pelbagai peluang dan jenis kerjaya baru muncul setiap hari dan sifatnya semakin kompleks dan berbilang tugas. Bersesuaian dengan evolusi teknologi, sebahagian kerjaya menjadi pupus manakala kerjaya baru pula muncul. Bagi golongan remaja, keadaan ini mungkin tidak disedari dan masih menganggap dunia kerjaya sama seperti beberapa dekad lalu. Suasana dunia pekerjaan semakin bersifat anjal dan terma-terma seperti mobility, outsourcing, SOHO dan sebagainya bukan lagi sesuatu yang asing. Tanpa maklumat yang tepat dan bersifat pertama (first hand) remaja akan membuat keputusan yang silap dalam pembentukan persepsinya terhadap sesuatu kerjaya. Dengan hal yang demikian, penyebaran maklumat kerjaya menjadi salah satu faktor penting yang harus diberi perhatian.

Objektif kajian

Kajian ini merupakan kajian awal bagi mengenal pasti pendedahan maklumat kerjaya dalam kalangan pelajar sekolah di kawasan luar bandar. Persoalan kajian ini ialah:

1. Adakah jurusan atau aliran matapelajaran yang diikuti oleh pelajar di sekolah selaras dengan bidang pekerjaan yang ingin mereka ceburi? 2. Adakah pihak sekolah menggunakan sebarang bentuk ujian psikologi dalam membantu pelajar memilih bidang pekerjaan yang sesuai dengan diri? 3. Adakah pelajar-pelajar didedahkan mengenai maklumat kerjaya melalui pameran atau aktiviti berkaitan dengannya?

73 Bimbingan & Kaunseling

DP. Jilid 10, Bil. 1/2010 Kaedah dan Sampel Kajian

Seramai 16 orang pelajar yang bersekolah di kawasan luar bandar terlibat dalam kajian ini. 8 orang daripadanya adalah lelaki dan 8 orang lagi adalah perempuan. Kesemua subjek terlibat merupakan pelajar di peringkat menengah atas di sekolah menengah kebangsaan. Kajian dilakukan di lapan buah negeri di Semenanjung Malaysia dengan setiap dua orang subjek bagi setiap negeri. Negeri-negeri ini mewakili empat buah zon iaitu zon Utara yang terdiri daripada negeri Kedah dan Perlis, di zon Selatan iaitu di negeri Pahang dan Johor, di zon Pantai Timur iaitu di negeri Kelantan dan Terengganu serta di zon Pantai Barat iaitu di negeri Selangor dan Melaka.

Dapatan maklumat diperoleh melalui soal selidik menggunakan soalan terbuka. Soalan yang dibina adalah berdasarkan kepada tiga persoalan kajian. Analisis secara deskriptif melalui frekuensi digunakan untuk memperoleh maklumat kajian. Bagi jawapan soalan terbuka pula, analisis kandungan digunakan.

Dapatan Kajian

Latar belakang Subjek

Sejumlah 16 orang pelajar terlibat dalam kajian ini dengan 8 orang daripadanya lelaki dan 8 orang perempuan. Seramai 6 orang pelajar adalah daripada tingkatan 4, 9 orang pelajar daripada tingkatan 5 dan seorang daripada tingkatan 6 bawah. Jurusan atau aliran mata pelajaran pelajar melaporkan seramai 3 orang daripada jurusan sastera, 7 orang daripada jurusan sains, 3 orang daripada jurusan perakaunan, 2 orang daripada jurusan teknikal/vokasional dan seorang daripada jurusan teknologi maklumat.

Persoalan kajian 1

Dapatan menunjukkan 8 orang subjek jelas dengan jenis pekerjaan yang akan diceburi mereka manakala 8 orang subjek sebaliknya. Seramai 4 orang pelajar memilih jurusan yang tidak selaras dengan bidang pekerjaan yang ingin diceburi, sebaliknya didapati 12 orang memilih jurusan sebagaimana bidang pekerjaan yang mereka inginkan. Ketidakselarasan pemilihan jurusan ini adalah disebabkan oleh jurusan yang tidak ditawarkan oleh pihak sekolah, pemilihan berdasarkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan terdapat pelajar yang memilih jurusan dengan mengikut kawankawan.

Persoalan kajian 2

Seramai 9 orang pelajar tidak pasti sama ada jenis pekerjaan yang ingin diceburi ini sesuai dengan personaliti diri mereka manakala 7 orang lagi pasti dengan jenis pekerjaan yang ingin diceburi kelak. Hanya 3 orang yang pernah mengambil ujian kerjaya di sekolah manakala 13 orang pelajar lagi tidak pernah mengambil ujian kerjaya yang bertujuan untuk mengenal pasti pekerjaan yang sesuai dengan diri. 74 Bimbingan & Kaunseling

DP. Jilid 10, Bil. 1/2010 Persoalan kajian 3

Kesemua 16 orang pelajar menyatakan bahawa maklumat dan pameran kerjaya penting untuk pelajar-pelajar sekolah memperoleh maklumat mengenai kerjaya. Seorang pelajar mencadangkan supaya maklumat kerjaya didedahkan kepada para pelajar sejak mereka dibangku sekolah menengah iaitu di tingkatan satu.

Walaupun kepentingan kerjaya ini diakui oleh semua pelajar namun seramai 9 orang pelajar melaporkan bahawa mereka tidak mendapat maklumat tentang kerjaya di sekolah mereka. Seramai 7 orang lagi mengakui mendapat maklumat kerjaya. Majoritinya mendapat maklumat kerjaya daripada guru bimbingan & kaunseling sekolah dan yang lainnya melalui guru dan penceramah jemputan. Seramai 12 orang pelajar menyatakan bahawa pameran kerjaya tidak pernah diadakan di sekolah mereka. Di samping itu seramai 11 orang pelajar menyatakan pameran kerjaya tidak pernah diadakan di kawasan berhampiran tempat tinggal mereka. Majoriti pelajar (12 orang) juga tidak sanggup pergi ke pameran kerjaya yang diadakan jauh daripada tempat tinggal mereka. Terdapat pelajar yang menyatakan tidak pernah menghadiri dan tidak tahu bahawa adanya pameran kerjaya bagi membantu mereka memperoleh maklumat kerjaya.

Berikut adalah pendapat para pelajar tentang bagaimana sesuatu pameran kerjaya dapat membantu mereka:

1. Memperoleh maklumat kerjaya dengan cara penerangan mengenai sesuatu kerjaya yang disampaikan oleh petugas pameran dan edaran risalah-risalah yang disediakan. 2. Mengetahui personaliti diri dan arah kerjaya pada masa hadapan. 3. Memperoleh pendedahan mengenai sesuatu kerjaya dengan lebih khusus, jelas dan terperinci. 4. Membantu menentukan kerjaya yang sesuai mengikut jurusan atau aliran yang diambil di sekolah serta bersesuaian dengan minat dan personaliti. 5. Mengetahui lebih banyak bidang atau cabang kerjaya yang boleh diceburi. 6. Mengetahui tahap pencapaian terbaik untuk menceburi sesuatu bidang yang diminati. 7. Membantu merancang masa depan dengan lebih teratur berdasarkan matlamat dan kerjaya yang ingin diceburi. 8. Memberi maklumat untuk menceburi bidang diminati dan panduan untuk merancang pembelajaran daripada awal persekolahan.

Respons pelajar tentang pendedahan maklumat kerjaya yang mereka peroleh kini adalah:

1. Hanya memperoleh maklumat melalui akses internet 2. Pameran kerjaya diadakan hanya di sekolah 3. Hanya sedikit pendedahan kerjaya diperoleh 75 Bimbingan & Kaunseling

DP. Jilid 10, Bil. 1/2010 4. Pendedahan kerjaya tidak begitu meluas 5. Maklumat kerjaya diperoleh melalui keluarga, sahabat dan televisyan 6. Tidak banyak pameran kerjaya yang diadakan.

Berdasarkan dapatan kajian terhadap 16 orang pelajar sekolah menengah di kawasan luar bandar ini dapatlah dirumuskan bahawa para pelajar mengakui kepentingan dalam memperoleh maklumat kerjaya. Maklumat kerjaya diperakui dapat membantu mereka dalam merancang kerjaya yang diminati dan sesuai dengan personaliti dan permintaan pasaran kerja. Walaupun begitu realiti menunjukkan bahawa mereka masih ketandusan dalam memperoleh maklumat kerjaya. Mereka juga tidak terdedah dengan ujian-ujian psikologi seperti ujian kerjaya dan ujian personaliti dalam proses membantu memperoleh maklumat kerjaya yang bersesuaian dengan diri.

Perbincangan

Personaliti, minat dan kelayakan akademik mempunyai kaitan yang unik dalam pemilihan dan penentuan kerjaya. Bagaimanapun, pemilihan aliran atau jurusan akademik semasa di sekolah selalunya mendahului faktor personaliti dan minat. Ini disebabkan oleh struktur pendidikan yang memerlukan pelajar memilih jurusan atau aliran di tingkatan empat berdasarkan kepada keputusan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Mohd Mansur dan Siti Nordinar (1993) menjelaskan hal ini dengan menyatakan bahawa faktor utama dalam penentuan perancangan kerjaya sebagaimana yang dikehendaki oleh pendidikan tinggi ialah pencapaian akademik. Namun faktor yang lebih utama dalam menentukan kejayaan kerjaya ialah keupayaan dan kemampuan asas individu dalam akademik. Tanpa mengetahui kecenderungan personaliti dan minat yang tepat, pelajar akan memilih jurusan yang akan mempengaruhi pemilihan kerjaya masa depan. Keluarga terutamanya ibu bapa memainkan peranan penting mempengaruhi pemilihan kerjaya pelajar (Quek, 1991). Kajian Syed Nasir (1998) pula mendapati hubungan antara sokongan abang dan kakak lebih mempengaruhi dalam pemilihan kerjaya pelajar berbanding ibu bapa. Ini menggambarkan bahawa keputusan untuk memilih jurusan atau aliran banyak bergantung kepada pengalaman dan pengetahuan ahli keluarga yang lebih tua. Namun adakah pengetahuan ahli keluarga mencukupi untuk membimbing pelajar membuat keputusan yang berkaitan dengan kerjaya dan masa depan?

Penentuan kerjaya dipengaruhi oleh personaliti seseorang (Holland, 1973). Minat seseorang kepada sesuatu pekerjaan dipengaruhi oleh personaliti serta beberapa faktor lain berkaitan kerjaya tersebut. Perbandingan antara diri dengan persepsinya terhadap pekerjaan serta perasaan menerima atau menolak pekerjaan tersebut

menjadi penentu kepada pemilihan kerjaya seseorang. Keadaan ini dapat ditentukan dengan pengukuran minat kerjaya menerusi ujian-ujian psikologi yang khusus. Di Malaysia, ujian seperti Inventori Personaliti Sidek (IPS), Rothwell Miller Interest Blank (RMIB) dan Self-Directed Search (SDS) adalah sebahagian alat ukur yang biasa digunakan 76 Bimbingan & Kaunseling

DP. Jilid 10, Bil. 1/2010 dalam menentukan kesesuaian personaliti dan minat kerjaya. Kebanyakan kaunselor dan guru bimbingan terlatih memang terdedah kepada ujian-ujian ini.

Namun isu perlaksanaan di sekolah merupakan isu yang berbeza. Sekalipun arahan melaksanakan ujian personaliti dan minat ke atas pelajar oleh kaunselor pelajar jelas dinyatakan dalam surat pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia bilangan KP (BS-HEP) 8543/60/(91) Lampiran III, kajian ini mendapati bahawa kebanyakan subjek kajian tidak menduduki ujian ini. Tanpa menduduki ujian, pelajar tidak akan dapat menentukan dengan tepat kesesuaian minat dan kecenderungan personaliti terhadap sesuatu kerjaya. Sekalipun pelajar mungkin mempunyai maklumat kerjaya, tidak dapat dipastikan sama ada ini dapat membantu pelajar kepada pemilihan yang tepat. Peranan kaunselor atau guru bimbingan & kaunseling di sekolah amatlah penting bagi memastikan pelajar membuat perancangan kerjaya berdasarkan kefahamannya tentang dirinya sendiri serta maklumat yang terkini dan semasa.

Ramai remaja tidak dapat mengekal pendirian kerjaya sekalipun setelah menamatkan persekolahan (Habibah & Noran Fauziah, 2002). Tanpa maklumat yang mencukupi, keadaan boleh menjadi semakin parah. Maklumat kerjaya adalah elemen penting dalam perancangan dan pemilihan kerjaya. Maklumat yang mencukupi membantu pelajar membuat keputusan yang tepat dan tetap. Namun hasil kajian menunjukkan bahawa timbul beberapa halangan bagi mencapai tahap celik maklumat kerjaya. Antaranya ialah kekurangan maklumat yang sedia ada di sekolah serta program pendedahan kerjaya yang tidak menyeluruh. Bagi pelajar luar bandar, kewujudan program dan pameran kerjaya selalu tidak dimanfaatkan kerana kekangan jarak. Pihak sekolah juga mungkin menghadapi kesulitan membawa keperluan tersebut ke desa apatah lagi sekiranya melibatkan kos serta kemudahan yang banyak.

Hal ini perlu diberi perhatian yang khusus kerana keadaan yang sama tidak berlaku di bandar. Pelbagai pihak sentiasa menganjurkan program pendedahan kerjaya termasuk ceramah, pameran dan karnival kerjaya di kawasan bandar. Pelajar-

pelajar di bandar sentiasa mendapat peluang untuk mengemas kini maklumat kerjaya di samping bertemu sendiri dengan wakilwakil institusi pengajian tinggi, penaja dana serta pihak industri dalam program-program yang diadakan. Keadaan ini mewujudkan jurang pengetahuan yang jelas terhadap pendedahan kerjaya antara pelajar di bandar dan luar bandar.

Penutup

Pendedahan maklumat kerjaya pada peringkat sekolah penting untuk memberi peluang kepada perancangan kerjaya yang lebih mantap. Sehubungan demikian, cadangan bagi meningkatkan pendedahan maklumat kerjaya di sekolah-sekolah perlu diberi perhatian wajar. Pendedahan maklumat kerjaya perlu disebarkan sama ada secara formal dan tidak formal. Pelbagai akitiviti pendedahan kerjaya boleh dilakukan seperti pameran kerjaya, ceramah, forum, bengkel, pertandingan menulis buku skrap serta lawatan. Guru bimbingan dan kaunseling di sekolah juga perlu lebih peka dengan bimbingan kerjaya yang boleh diadakan dalam bentuk bimbingan di kelas. Pengujian psikologi bagi memastikan minat, nilai, kebolehan dan 77 Bimbingan & Kaunseling

DP. Jilid 10, Bil. 1/2010 personaliti pelajar yang selaras dengan kerjaya ingin diceburi juga boleh dijadikan asas dalam pemilihan jurusan atau aliran matapelajaran. Di samping itu, pihak sekolah juga perlu menyediakan dan memperbanyakkan kemudahan seperti komputer serta mengalakkan para pelajar memperoleh maklumat kerjaya melalui akses internet.

Rujukan Habibah Elias & Noran Fauziah Yaakub (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Psikologi Personaliti.

Kementerian Pelajaran Malaysia (1996). Pelantikan Kaunselor Sepenuh Masa (Kaunselor Pelajar). 18 Mac 1996. Rujukan KP (BS-HEP) 8543/60/(91). Muhd. Mansur Abdullah & Siti Nordinar Mohd Tamim (1993). Pengantar Kaunseling. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Quek, A.H. (1991). Faktor-faktor Yang Mempengaruhi Pemilihan Kerjaya Pelajarpelajar Tingkatan Enam. Kajian Ilmiah Diploma Kaunseling. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Tidak Diterbitkan. Rohany Nasir (2003). Isu-Isu Kaunseling dan Perkembangan Kerjaya. Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Kuala

Rohany Nasir (2008). Kaunseling Kerjaya: Anjakan daripada Konvensionalisme. Syarahan Perdana jawatan Profesor pada 7 November. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. Shamsuddin Bardan (2007). Private Sector Expectations. Kertas kerja dibentangkan di Seminar On Graduate Employability di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Syed Nasir b. Syed Mahdi (1998). Faktor-faktor Pemilihan Kerjaya Pelajar. Projek Sarjana Sains (Pengurusan). Universiti Utara Malaysia, Sintok. Tidak Diterbitkan.

Related Documents


More Documents from "NackOfchange"