Falsafah Pendidikan Islam

  • Uploaded by: sukmakustika
  • 0
  • 0
  • February 2021
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Falsafah Pendidikan Islam as PDF for free.

More details

  • Words: 3,786
  • Pages: 14
Loading documents preview...
1 1.0 Pendahuluan Pendidikan Islam sebagai satu sistem atau mata pelajaran yang berakar umbi daripada gagasan pemikiran falsafah. Gagasan pemikiran tersebut hakikatnya adalah pandangan hidup atau world view yang telah digariskan dalam Islam. Tanpa world view tersebut, kehidupan tidak terarah, pendidikan tiada hala tuju dan apa jua aktiviti tiada nilainya di sisi Allah SWT. Walaupun terdapat usaha untuk melakukan transformasi terhadap Pendidikan Islam sesuai dengan keperluan semasa, ia tidak wajar meminggirkan realiti keperluan untuk kembali kepada world view tersebut atau secara khususnya transformasi tersebut perlu berpijak kepada pemikiran falsafah. Tanpa pemikiran falsafah, apa jua bentuk kemajuan dan pemikiran futuristik dalam pendidikan tidak akan tercapai sejajar dengan kehendak falsafah. Oleh yang demikian, hala tuju Pendidikan Islam dulu, kini dan akan datang perlu kembali berlandaskan kepada pemikiran falsafah. Segala cabaran dan halangan untuk merealisasikannya perlu ditangani dengan bijak dan penuh hikmah.

2.0 Faktor-Faktor Yang Menentukan Kandungan, Matlamat dan Aspirasi Falsafah Pendidikan Islam (FPI). 2.1 Definisi Falsafah Pendidikan Islam Assyaibani mendefinisikan Falsafah Pendidikan Islam sebagai melaksanakan teori dan metod falsafah di bidang pengalaman manusia yang dipanggil „pendidikan‟. Oleh itu, falsafah pendidikan berfungsi menilai pendidikan, menyelaras dan menganalisa permasalahan dan isunya dalam kehidupan. Ia mencakupi pembahasan pemahaman yang berbeza dan menjelaskan makna istilah yang digunakan dalam pendidikan. Ia juga menentukan perkara pokok yang ada hubungan dengan lapangan lain dalam hidup manusia (Haron Din dan Sobri Salomon, 1988). Turki Rabib (1982) menyatakan bahawa Falsafah Pendidikan Islam dibina berasaskan empat rukun iaitu, iman yang teguh kepada Allah dan Rasul, malaikat, syurga, neraka dan hari kebangkitan, akhlak yang baik dan mulia, berilmu dalam erti yang menyeluruh , dan amal soleh di dunia dan di akhirat. Falsafah merupakan komponen yang paling utama dan tertinggi dalam pendidikan kerana sikap manusia yang ingin dilahirkan adalah bergantung pada falsafah yang disalurkan melalui pendidikan. Pendidikan diertikan oleh cendekiawan sebagai pemindahan nilai-nilai daripada generasi kepada generasi berikutnya, sama ada ilmu atau kemahiran, sedangkan

2 nilai-nilai itu ditentukan oleh falsafah yang disogokkan melalui sistem pendidikan. Oleh itu, falsafah yang berteraskan kebendaan akan melahirkan masyarakat yang bersikap kebendaan yang mampu membangunkan kebendaan bagi keseronokan hidup di dunia. Bagi mereka, dunia ini merupakan matlamat. ( Ahmad, 2011)

2.2 Faktor-faktor yang menentukan kandungan, matlamat dan aspirasi Falsafah Pendidikan Islam Falsafah Pendidikan Islam adalah bertitik tolak dari tasawwur Islam secara menyeluruh dan berkisar di sekitar tiga faktor atau hakikat yang besar iaitu hakikat ketuhanan, hakikat alam dan hakikat manusia. 2.2.1 Hakikat Ketuhanan Nadiat Jamaluddin (1983) menyatakan bahawa hakikat ketuhanan merupakan konsep rububiyyah dan uluhiyyah Allah, di mana segala urusan diserah kepada Allah SWT yang mencipta manusia dan alam. Allah SWT merupakan punca dan sebab dalam urusannya menyebabkan wujudnya kainat ini. 2.2.2 Hakikat Alam Alam pula dijadikan antara satu tanda kebesaran Allah SWT. Manusia akan mendapat tasawwur yang jelas tentang kewujudan Allah SWT melalui pemerhatiannya terhadap alam. 2.2.3 Hakikat Manusia Manusia pula merupakan sebahagian daripada alam, tetapi alam dijadikan untuk kemudahan manusia supaya manusia dapat menggunakannya untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Hubungan manusia dengan alam adalah dalam bentuk manusia sebagai tuan, tetapi dalam masa yang sama manusia mesti menunjukkan bahawa ia ialah hamba kepada Allah SWT. Nadiat Jamaluddin seterusnya menyatakan bahawa Ikhwan as-Safa menegaskan bahawa manusia ialah khalifah Allah SWT di muka bumi ini. Maka matlamat manusia lebih jauh, iaitu beribadat dan mengEsakan Allah SWT. Sekiranya manusia mengikuti jalan yang digariskan dengan menjauhi diri daripada mengikuti pemikiran yang sesat dan suasana persekitaran yang buruk, sesungguhnya ia telah mencapai ke tahap kebahagiaan yang tinggi.

3 Selepas berpisahnya roh dari jasad, ia akan ditempatkan ke alam akhirat yang dipenuhi dengan nikmat yang berkekalan. (Ahmad, 1997) Ketiga-tiga tasawwur ini amat penting dalam pembentukan manusia. Hal ini bermakna bahawa proses pembentukan dan pendidikan itu tidak boleh terkeluar dari landasan ketiga-tiga faktor di atas. Litfi Barakat Ahmad (1983) menegaskan Falsafah Pendidikan Islam mengiktiraf perkaraperkara yang berkaitan dengan pemikiran dan kebendaan. Kedua-duanya merupakan perkara pokok dalam membentuk dan membangunkan alam ini. Tetapi, falsafah pendidikan kebendaan menganggap kedua-dua perkara di atas sebagai kebendaan. Begitu juga falsafah pendidikan mithaliah yang menganggap dengan pemikiran sahaja dapat membangunkan alam ini, sesungguhnya Falsafah Pendidikan Islam tidak memisahkan antara pemikiran dengan kebendaan bahkan ia bersepadu dan mengimbangkan antara kedua-duanya dalam usaha membentuk dan membangunkan alam ini. Falsafah Pendidikan Islam mengiktiraf pemikiran seseorang kerana manusia merupakan haiwan yang boleh berfikir. Inilah yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Malahan Allah SWT memuliakan manusia berdasarkan syariat Islam.

Firman Allah:

                   Maksudnya: “Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di daratan dan lautan, Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan”.

(surah Al-Isra‟:70)

4 Seterusnya Assyaibani (1979) merumuskan bahawa Falsafah Pendidikan Islam berdiri atas faktor dan ciri-ciri tertentu iaitu: 1.

Falsafah Pendidikan Islam adalah sesuai dengan roh Islam, akidah dan undang-undang Islam. Tanpanya, ia tidak dinamakan Pendidikan Islam.

2.

Falsafah Pendidikan Islam adalah berkaitan dengan realiti masyarakat dalam hubungannya dengan kebudayaan, sosial, ekonomi dan polotik.

3.

Pembinaannya didasarkan kepada aspek kehidupan manusia yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan cabangnya serta pengalaman kemanusiaan.

4.

Falsafah Pendidikan Islam adalah bersifat universal yang didasarkan kepada faktor sosial, budaya, spiritual, ekonomi, politik, pendidikan, psikologi dan sebagainya.

5.

Falsafah Pendidikan Islam adalah bersifat memilih supaya sesuai dengan roh Islam.

6.

Falsafah Pendidikan Islam adalah bebas daripada pertentantangan dan percanggahan antara prinsip dengan kepercayaan yang menjadi dasarnya dan antara prinsip ini dengan pelaksanaan amalinya.

7.

Falsafah Pendidikan Islam adalah didasarkan kepada contoh-contoh yang jelas.

8.

Falsafah Pendidikan Islam adalah bersifat dinamik, berkembang, sesuai dengan perkembangan penyelidikan dan kajian-kajian dalam pendidikan yang pelbagai. Berdasarkan kepada unsur dan keterikatan falsafah pendidikan dalam Islam di atas, jelas

menunjukkan bahawa ia bersifat komprehensif, syumul, dinamik dan sejagat. Hal ini kerana falsafah pendidikan Islam berteraskan kepada sumber Al-Quran dan sunnah yang lengkap dan sempurna. Malah, falsafah pendidikan menurut kaca mata Islam tidak hanya berasaskan kepada pemikiran manusia, bahkan ia berteraskan kepada firman Allah SWT. Falsafah yang tidak berteraskan kepada ketuhanan dan ketauhidan kepada Allah SWT pastinya pastinya akan pincang dan membawa kegagalan. (Asmawati, 2012) Falsafah pendidikan dari kaca mata Islam mestilah berteraskan panduan yang dicipta oleh Allah SWT. Manusia tidak boleh mencipta falsafahnya sendiri, sebaliknya falsafah itu mestilah lahir dari tasawwur yang jelas bahawa manusia mesti dididik dengan dasar-dasar umum yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Menjurus dari tasawwur ini inilah bermulanya titik tolak kehidupan kehidupan manusia dalam semua bidang. Oleh itu, falsafah yang tidak bertitik tolak dari tasawwur ini tidak akan diterima oleh Islam. ( Ahmad, 2011)

5 Kesimpulannya, Pendidikan Islam mengandungi falsafah tertentu yang lahir dari pengertian Islam. Setiap sistem pendidikan dan masyarakat Islam tidak harus disusun menurut falsafah yang bertentangan dengan roh Islam. Sekiranya sistem pendidikan yang diamalkan dalam masyarakat Islam tidak sesuai dengan falsafah Islam, maka sistem pendidikan itu akhirnya akan menghakis identiti umat Islam dan menggugat masa hadapan mereka.

3.0 Sumbangan Falsafah Islam dalam Perkembangan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kandungan Falsafah Pendidikan Islam ialah Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan AsSunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Manakala kandungan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan,

berakhlak

mulia,

bertanggungjawab

dan

berkeupayaan

mencapai

kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dirangka untuk menghasilkan warga Malaysia yang berpengetahuan dan berkebolehan, mempunyai nilai moral yang tinggi dan boleh mencapai kejayaan serta boleh menyumbang kepada masyarakat dan negara khususnya. Justeru itu, nilai, konteks kebudayaan dan pengalaman praktikal daripada pelbagai falsafah Islam, Timur dan Barat serta pandangan-pandangan intelek dan perancang kurikulum telah digabungkan untuk membentuk intipati dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Perbincangan ini adalah menjurus kepada sumbangan Falsafah Pendidikan Islam dalam perkembangan Falsafah Pendidikan Kebangsaaan.

6 Menurut Wan Bakar (1991), terdapat beberapa unsur dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan seperti : 1.

Pendidikan seumur hidup.

2.

Pembangunan seluruh potensi insan dari segi rohani, akal, emosi dan jasmani.

3.

Pembentukan insan soleh yang tunduk dan patuh kepada tuhan iaitu Allah SWT.

4.

Pembentukan insan dwifungsi iaitu sebagai abid dan khalifah.

5.

Kesepaduan ilmu dan amal soleh untuk mencapai al-falah (kemenangan). Dari perspektif matlamat pendidikan Islam, Falsafah Pendidikan Kebangsaan berteraskan

Islam (tauhid). Usaha mendidik dan melahirkan insan yang percaya dan patuh kepada tuhan (Allah) yang menjadi teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan merupakan cita-cita Pendidikan Islam yang sentiasa membawa insan ke arah tersebut. Matlamat Pendidikan Islam juga ke arah melahirkan insan kamil (seimbang) dan insan yang berakhlak mulia (harmonis). Falsafah Pendidikan Kebangsaan bercita-cita untuk mewujudkan insan yang seimbang atau insan yang sempurna dalam semua sifat/ fitrah kejadian insan yang mempunyai akal (pemikiran), rohani (keimanan), hati (emosi) dan fizikal (jasmani). Falsafah Pendidikan Kebangsaan mendukung cita-cita pendidikan seumur hidup. Usaha mengembangkan potensi (fitrah) individu tidak terbatas semasa pelajar berada di dalam bilik darjah sahaja, tetapi berlaku di luar bilik darjah, di rumah dan berlaku dalam kalangan masyarakat juga. Matlamat Pendidikan Kebangsaan adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara memerlukan amalan pendidikan berterusan dan pencarian ilmu serta pelbagai sumber pembelajaran, pemerhatian, pembacaan, dan pengalaman. Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan membangunkan seluruh potensi insan dari segi rohani, akal, emosi dan jasmani menjadi cita-cita dan matlamat Pendidikan Islam. Pembentukan dan pembangunan insan soleh serta mempunyai ciri-ciri insan kamil merupakan mercu akhir matlamat Pendidikan Islam.

7 Pendidikan Islam yang menyokong cita-cita pembangunan insan yang berilmu, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia memerlukan kurikulum pendidikan yang mengimbangi antara ilmu, keimanan dan kemahiran. Dengan wujudnya keseimbangan antara ketiga-tiga faktor di atas, maka akan lahirlah insan yang sempurna yang mampu mendukung cita-cita seorang hamba dan khalifah Allah di muka bumi dan seterusnya mendapat keredhaan Allah serta kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Kurikulum KBSR dan KBSM telah dibentuk bagi memenuhi cita-cita pembentukan insan soleh atau insan yang patuh kepada ajaran agama. Falsafah Pendidikan Kebangsaan bertujuan membentuk insan soleh yang tunduk dan patuh kepada Allah. Usaha ini diterjemahkan dalam keseluruhan kurikulum KBSR dan KBSM yang mana setiap mata pelajaran mempunyai matlamat yang berkaitan alam ciptaan Tuhan (mata pelajaran Geografi, Sains) dan seterusnya percaya dan patuh kepada tuhan (mata pelajaran Pendidikan Agama Islam). Mata pelajaran seperti Sejarah, Moral, Sastera dan seumpamanya mempunyai matlamat untuk melahirkan individu yang berakhlak dan bertatasusila yang baik. Oleh itu, jelas bahawa falsafah dan matlamat pendidikan kebangsaan mendukung ke arah pembentukan insan yang patuh dan percaya kepada Tuhan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan bermatlamat membentuk insan sebagai abid dan khalifah. Keadaan ini jelas wujud melalui kesepaduan kurikulum yang memberikan penekanan pada pembentukan nilai murni dan pembentukan manusia yang berkemahiran dan berketrampilan. Dalam hal ini, kurikulum KBSR dan KBSM telah memberikan penekanan yang jelas dalam dua aspek tersebut agar dapat melahirkan insan yang berkemahiran dan berakhlak mulia. Insan yang berkemahiran dan berakhlak mulia ialah insan yang diharap mampu mengeksploitasikan alam ciptaan Allah untuk kepentingan manusia sejagat. Menurut Rosnani Hashim (2011), falsafah dalam pengajaran subjek Pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah perlu mempunyai perbezaan bagi memastikan pembelajaran yang lebih fokus mengikut kumpulan sasar. Di peringkat sekolah rendah lebih baik diterapkan tentang asas bacaan Al-Quran, pembentukan akhlak, karakter, sahsiah dan perkara-perkara asas berkaitan, bagi pelajar sekolah menengah, mereka perlu dididik menghadapi cabaran dunia hari ini melalui subjek pendidikan seks yang wajar diajar di sekolah menengah termasuk

8 cara menggunakan internet agar tidak terpengaruh dengan elemen negatif. Ini menunjukkan bidang pendidikan peringkat kebangsaan memandang serius dalam merealisasikan matlamat dalam Falsafah Pendidikan Islam. (Ahmad, 2011) Salah seorang pelopor falsafah Islam yang penting ialah Al-Ghazali. Beliau telah menekankan cara-cara hidup seorang Islam yang baik sebagai seorang insan yang sentiasa mementingkan Al-Quran dan Hadith. Dia juga memfokus kepada cara-cara untuk menembusi Al-Quran dan memahaminya secara mendalam serta untuk setia kepada tuhan dan mengelak daripada membuat dosa. Mengikut seorang lagi ahli falsafah Islam, Mohd Oatb, pendidikan Islam merujuk kepada proses-proses menghasilkan manusia yang seimbang yang dapat mengembangkan potensi untuk mencapai tahap kesempurnaan. Dalam pada itu, seorang lagi ahli falsafah Islam iaitu Muhammad Atthiyah al Abrashi, menyarankan bahawa pendidikan Islam harus merujuk kepada hasrat mengajar penganutpenganutnya mengamalkan kehidupan yang seimbang dengan mempraktikkan amalan-amalan yang murni dalam kehidupan mereka. Manakala menurut seorang lagi ahli falsafah Islam, Al-Attas, ilmu yang memberi makna kepada sesuatu jiwa. Manusia harus melaksanakan kehidupan mereka dengan menumpukan kepada agama dengan sentiasa mempersoalkan mengenai tingkah laku mereka di dunia nyata dan akhirat. Semua kualiti ini menolong mereka membina personaliti manusia yang seimbang dan harmonis. (Ragbir, 2012) Hasil penekanan terhadap pendidikan Islam dalam kurikulum menyaksikan pelbagai perkembangan pendidikan Islam kini iaitu subjek pendidikan Islam yang diwajibkan dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (kini Kurikulum Standard Sekolah Rendah) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah. Penubuhan sekolah-sekolah agama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama pula menjadi tempat penghayatan nilai Islam bagi murid-murid Islam dan mereka didedahkan lebih banyak ilmu-ilmu berkaitan agama Islam berbanding sekolah menengah lain. Sistem ini juga menampakkan keberhasilannya dengan lahirnya ramai tokoh ulama di negara ini. Sehingga kini, terdapat 57 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama di seluruh Malaysia di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

9 Selain itu, kursus Tamadun Islam ( kini Tamadun Islam Tamadun Asia) telah diperkenalkan di Institusi Pengajian Tinggi dan Maktab Perguruan ( kini Institut Pendidikan Guru ) sejak 1983 sehingga sekarang. Tujuan kursus ini didedahkan ialah untuk memperkenalkan falsafah pendidikan Islam kepada pelajar-pelajar. Dengan wujudnya golongan muda yang mendalami agama, maka secara tidak langsung falsafah pendidikan Islam yang mahu melahirkan insan berilmu dan beragama dapat dicapai. (Syafawani, 2013)

Justeru itu, implikasi ajaran fasafah-falsafah Islam direfleksikan dengan nyata dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana hasrat utamanya ialah untuk membangunkan rakyat jelata yang mempunyai cita-cita dan aspirasi tinggi serta yang taat kepada agama, raja dan negara.

4.0 Implikasi setiap elemen Falsafah Pendidikan Islam terhadap seorang guru.

Pendidikan Islam yang diperkenalkan kepada rakyat tempatan sebelum zaman kolonialisme British diajar oleh guru-guru yang dikenali sebagai ulama‟ di rumah-rumah mereka. Apabila bilangan pelajar bertambah, para ulama‟ mula mengajar di masjid, surau dan madrasah. Kemudian, setelah institusi agama iaitu sekolah pondok ditubuhkan, pengajar di institusi ini ialah Tok Guru. Kebanyakan tenaga pengajar bagi subjek pendidikan Islam ini menimba ilmu dengan cara melanjutkan pelajaran ke timur tengah atau berguru dengan ustaz-ustaz. Sehingga

kini,

sistem

pendidikan

terus

berkembang

dan

melalui

pelbagai

penambahbaikan terutamanya bidang pendidikan Islam. Pendidikan Islam merupakan satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan sunnah bagi membentuk sikap,kemahiran,keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangunkan diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan didunia dan kesejahteraan abadi di akhirat. Kandungan dan elemen Falsafah Pendidikan Islam dapat dijelaskan seperti berikut: Usaha berterusan

: semua pihak dan lapisan masyarakat perlu melibatkan diri secara berterusan dan bersepadu untuk membimbing, mendidik, dan

10 menyampaikan ilmu pengetahuan serta kemahiran kepada murid. Menyampaikan Ilmu :ilmu pengetahuan yang hendak disampaikan meliputi ilmu naqli (AlQuran dan sunnah) dan ilmu aqli secara sepadu. Kemahiran

: Seluruh aspek pertumbuhan diri murid perlu dipupuk, dibelai, dan diasuh bagi mengembangkan secara positif tentang kemahiran: 1. Belajar dan mengkaji 2. Berfiikir dan bertaakul 3. Amalan ibadat khusus 4. Anggota fizikal dalam melakukan sesuatu 5. Berkomunikasi dan berinteraksi 6. Bermuamalat dan menunaikan tanggungjawab

Penghayatan Islam

: memastikan apa yang dipelajari dan difahami, diamalkan dalam kehidupan seharian serta disusuli dengan muhasabah dan tindakan susulan yang lebih berkesan.

Membentuk sikap

: memastikan sikap murid dibentuk berteraskan ajaran Al-Quran dan sunnah untuk menjadi seorang mukmin yang sejati, beradab dan berakhlak mulia, sentiasa berfikir dan berzikir.

Membentuk pandangan : Pandangan hidup sebagai insan yang bertanggungjawab membangun diri, keluarga, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mardhatillah perlu dipupuk dan dibentuk dalam kalangan murid sejak kecil lagi. Mencapai kebaikan

: murid-murid sejak kecil lagi perlu ditanamkan semangat inginkan Kecemerlangan dari segi pemikiran, ilmu dan kemahiran dengan sebaik-baiknya. Begitu juga kesedaran terhadap mencintai kebaikan dan kedamaian di dunia serta kesejahteraan di akhirat.

11

Melalui elemen dalam Falsafah Pendidikan Islam di atas, ia memberi aspirasi dan impak kepada seorang guru di mana nilai-nilai Islam perlu diberi perhatian sewajarnya dalam pengajaran

dan

pembelajaran.

Sebagai

seorang

guru

pendidikan

Islam,

haruslah

mengaplikasikan setiap aspek yang tekandung dalam Falsafah Pendidikan Islam. (Ahmad, 1997) Antara pembelajaran yang sangat berkait dengan Falsafah Pendidikan Islam itu sendiri adalah asas fardu ain. Ianya perlu diberi perhatian sewajarnya dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Keadaan ini bagi menentukan semua murid secara adil mengetahui, memahami dapat mengamalkan dengan betul, sedar dan terus menghayati dalam kehidupan harian. Guru juga perlu menggabung jalinkan perkara-perkara seperti hadis-hadis Rasulullah, akidah, ibadah, akhlak, sirah nabawiyyah dan tamadun Islam. Selain itu dalam aspek perkembangan potensi murid dari segi akal (intelek), jasmani, emosi dan rohani, guru perlu merancang aktiviti yang bersesuaian berteraskan kandungan sukatan pelajaran secara bersepadu dan menyeluruh serta positif dalam konteks pembangunan ummah. Perancangan ini perlu supaya murid yang dididik itu faham ilmu yang dipelajari, mahir berfikir dalam mengamalkan, pantas melakukan sesuatu yang dipertanggungjawabkan, mempunyai perasaan yang positif kepada kebaikan dan memiliki pengetahuan agama yang mendalam serta menghayatinya dalam kehidupan harian. Di samping itu, elemen-elemen yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Islam berkait rapat dengan hubungan bilik darjah dengan masyarakat. Perkara-perkara asas fardu ain dan fardu kifayah yang diajar dalam bilik darjah hendaklah dihubungkan dengan apa yang berlaku dalam masyarakat untuk membolehkan murid berfikir dan meluaskan pandangan mereka dengan melihat apa yang dipelajari sebagai asas atau persediaan diri menjadi anggota masyarakat yang berketerampilan baik dalam soal-soal umum atau yang berkaitan dengan agama. Kepelbagaian aktiviti pengajaran dan pembelajaran (p&p) dapat memupuk dan melatih murid menghayati nilai-nilai murni dan serentak, dengan itu aspek JERI murid dapat dikembangkan bersepadu dan seimbang. Antara aktiviti yang sesuai untuk murid sekolah rendah adalah syarahan, bercerita, simulasi, lakonan/drama, lawatan, gotong royong, melukis, nasyid, talaqqi musyafahah, dialog dan lain-lain.

12 Budaya sekolah meliputi aspek fizikal, sosial, budaya ilmu dan penggunaan bahasa yang baik dan betul yang memperlihatkan budaya tersebut. Ciri-ciri kebersihan, keselamatan, penggunaan kemudahan dengan baik secara inovatif dan kreatif, keselesaan dan keindahan berkekalan. Ciri-ciri sosial sekolah yang meliputi penghayatan nilai-nilai murni oleh seluruh anggota sekolah terserlah dihayati. Semangat mahu belajar serta rangsangan ke arah meminati pelajaran tersedia. Penggunaan bahasa yang baik dan betul dimanifestasikan dalam pergaulan harian. Segala aktiviti dirancang oleh guru perlu mengambil kira bagaimana hendak menarik minat murid kepada apa yang dipelajari, bagaimana untuk memperkaya ilmu seterusnya. Peranan ilmu dalam kehidupan serta kepentingannya hendaklah ditonjolkan mengikut kesesuaian dengan umur murid. Sifat kasih sayang guru kepada murid merupakan satu faktor yang amat besar dalam menarik minat murid mencintai ilmu pengetahuan dan menjaga keharmonian budaya sekolah. (Ahmad, 2011) Kesimpulannya kandungan Falsafah Pendidikan Islam memberi implikasi berkesan terhadap seorang guru bagi melahirkan murid yang berilmu, beriman, berketerampilan, beramal soleh dan berakhlak. Setiap guru memainkan peranan bagi memastikan murid memahami nilainilai Islam seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian serta menjadi bekalan menuju akhirat.

5.0 Sejauh manakah sekolah telah berjaya merealisasikan Falsafah Pendidikan Islam. Sejarah Pendidikan Islam secara formal di sekolah bermula pada tahun 1962, apabila mata pelajaran Agama Islam atau Pengetahuan Agama Islam dimasukkan ke dalam jadual rasmi sekolah. Berdasarkan matlamat dan kandungan kurikulum yang lebih menumpukan pengetahuan tentang agama Islam kepada pelajar-pelajar, maka penumpuan pengajaran dan pembelajaran lebih terarah kepada penyampaian maklumat dan ilmu tentang agama Islam daripada pencapaiannya dalam aspek amalan dan penghayatan Islam dalam kalangan pelajar. Guruguru juga menumpukan peranan mereka untuk mengajar dan memberikan ilmu pengetahuan tentang Islam seperti yang terkandung dalam sukatan pelajaran yang ditentukan. Demikian juga para pelajar, mereka lebih banyak menghafal fakta daripada menghubungkan fakta-fakta tersebut dengan amalan dan penghayatan Islam sebenarnya. Kesimpulannya mereka

13 mempelajari mata pelajaran Agama Islam hanya sekadar tahu tentang agama Islam dan untuk lulus dalam peperiksaan. Perubahan sentiasa berlaku dalam sistem pendidikan negara selaras dengan perubahan-perubahan dalam kehidupan masyarakat. Justeru muncul cabaran-cabaran baru yang perlu ditangani secara berkesan,terutama cabaran-cabaran yang berkaitan dengan kerohanian dan akhlak. Kurikulum Pendidikan Islam telah disemak semula supaya dapat memenuhi tuntutan-tuntutan masa kini dan masa hadapan. Menurut pengamatan saya, sepanjang berada di sekolah, penekanan mengenai Falsafah Pendidikan Islam agak baik. Ini kerana kebanyakan guru dan murid di sekolah adalah beragama Islam dan guru-guru Pendidikan Islam serta guru j-QAF mencukupi bagi setiap pelajar. Kami guru-guru bidang agama Islam sentiasa melakukan penambahbaikan bagi memastikan pelajar mendapat pengetahuan agama Islam dengan sempurna. Guru-guru bidang agama Islam di sekolah saya sentiasa memainkan peranan agar tanggungjawab terlaksana bagi memenuhi tuntutan ukhrawi setiap pelajar. Kami sedar bahawa keperibadian dan akhlak guru agama dipandang tinggi oleh masyarakat sekeliling dan kami berusaha untuk tidak mencemarkan imej dan kesucian agama Islam agar menjadi ikutan dan contoh teladan bagi murid-murid sama ada dari segi perkataan, perbuatan dan gerak geri. Walaupun guru besar sekolah saya bukan beragama Islam, namun beliau tidak menghalang kami guru-guru bidang agama Islam menjalankan pelbagai aktiviti atau program bagi menarik minat pelajar mendalami agama Islam. Beliau juga sentiasa menyokong dan memberi kerjasama yang baik bagi setiap program yang kami jalankan. Ini menunjukkan bahawa Falsafah Pendidikan Islam bukan sahaja difahami oleh warga yang beragama Islam, malah yang bukan beragama Islam juga memahami dan memberi kerjasama yang baik. Ini melancarkan lagi segala peranan guru-guru pendidikan agama Islam sepanjang berada di sekolah. Saya juga menyedari bahawa masyarakat di kawasan sekolah saya masih kurang pendedahan tentang nilai-nilai Islam walaupun kebanyakannya adalah beragama Islam. Mereka kurang didedahkan tentang aktiviti-aktiviti atau ceramah tentang Islam memandangkan surau atau masjid kurang diimarahkan. Ini sangat berbeza dengan tempat di semenanjung di mana surau-surau dan masjid sentiasa penuh dengan segala program dan ceramah bagi memenuhi pengisian rohani masyarakat. Ini memerlukan pengorbanan dan tanggungjawab yang besar

14 bagi kami guru-guru bidang agama Islam untuk merancang dan merangka program yang melibatkan pelajar dan ibu-bapa serta masyarakat sekeliling di sekolah. Dengan penambahbaikan sistem pembelajaran dan pengajaran masa kini seperti kssr sangat membantu guru-guru dalam memastikan setiap pelajar mendalami pengetahuan agama Islam dengan baik. Kami dapat memantau prestasi setiap pelajar dan berusaha membantu pelajar yang ketinggalan dan lemah dalam pelajaran. Dengan doa yang sentiasa diamalkan oleh setiap pelajar yang dibaca pada setiap kali perhimpunan, mudah-mudahan Allah membantu segala usaha guru-guru bagi merealisasikan Falsafah Pendidikan Islam di sekolah. Saya berharap segala usaha guru-guru dalam merealisasikan Falsafah Pendidikan Islam terlaksana dan sentiasa disemai dalam setiap warga sekolah termasuk guru-guru yang lain. Dengan kefahaman yang jelas tentang matlamat Falsafah Pendidikan Islam itu sendiri akan memberi kesan dan membentuk peribadi dan pembinaan sahsiah setiap pelajar mahupun masyarakat sekeliling.

6.0 Kesimpulan Agenda membangunkan gagasan pemikiran falsafah adalah satu agenda penting bagi menentukan visi, misi dan hala tuju Pendidikan Islam. Walaupun Falsafah Pendidikan Islam telah diungkap secara rasmi dalam sistem pendidikan di Malaysia, namun usaha yang proaktif perlu disusun dan dilaksanakan agar gagasan falsafah tercerna dalam setiap proses penentuan hasil pembelajaran, pengisian serta kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Ia perlu direalisasikan dengan efektif agar matlamat yang diharapkan dapat dicapai secara holistik.

Related Documents


More Documents from "allnie"

Falsafah Pendidikan Islam
February 2021 1