Peranan Guru Dalam Merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013

  • Uploaded by: Akmal Sekak
  • 0
  • 0
  • February 2021
  • PDF

This document was uploaded by user and they confirmed that they have the permission to share it. If you are author or own the copyright of this book, please report to us by using this DMCA report form. Report DMCA


Overview

Download & View Peranan Guru Dalam Merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 as PDF for free.

More details

  • Words: 791
  • Pages: 3
Loading documents preview...
PERANAN GURU DALAM MEREALISASIKAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 – 2025 Guru merupakan tunjang kepada sistem pendidikan. Guru adalah pelaksana segala dasar dan matlamat kurikulum yang telah digariskan oleh pihak kerajaan. Tanpa penglibatan dan sokongan kaum guru, segala perancangan pendidikan yang telah disediakan akan terbengkalai begitu sahaja. Justeru itu, pendidikan dan perguruan adalah aspek yang signifikan bagi menjamin kegemilangan sesebuah negara. Guru merupakan perlaksana kurikulum dan menjadi teras dalam menentukan standard, mutu dan keberkesanan sistem pendidikan. Pendidikan pula merupakan proses penyampaian ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperturunkan dari satu generasi kepada satu generasi yang lain. Oleh itu, tidak dinafikan dalam memperkatakan tentang kepentingan pendidikan, maka guru memainkan peranan utama untuk meyalurkan ilmu dan kemahiran tersebut dalam pendidikan formal. Ilmu pengetahuan menyuluh kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Guru bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Sememangnya, guru banyak menyumbangkan khidmat bakti dalam pembangunan bangsa dan negara, lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar. Begitulah peranan guru, satu tugas yang amat berat tetapi mulia dan murni.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan memperkenalkan satu Pakej Kerjaya Guru baru dalam usaha memartabatkan keguruan sebagai profesion pilihan termasuk kaedah memberi ganjaran sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru. Menurut laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, gelombang pertama (2013-2015) memberi fokus kepada meningkatkan standard profesionalisme guru. Peranan guru masa kini semakin mencabar. Mereka bukan sahaja memainkan peranan utama sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar, malahan bertanggungjawab menyuburkan minat, memperkembangkan bakat dan kebolehan pelajar. Guru juga merupakan sumber untuk membina daya pemikiran yang analitikal, kritikal dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka selaras dengan hala tuju sistem pendidikan. Hala tuju pendidikan negara yang telah dirangka oleh Kementerian Pelajaran Malaysia telah menggariskan satu matlamat iaitu untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan bertaraf dunia.

Langkah kerajaan menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 adalah satu langkah bijak bagi memantapkan lagi hala tuju sistem pendidikan negara. Pelan pendidikan itu menyediakan hala tuju dasar dan inisiatif terperinci untuk menjadikan pendidikan negara lebih berkualiti dan dinamik. Apa pun, kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 amat bergantung kepada kualiti pengajaran dan pembelajaran selain penyediaan infrastruktur pendidikan yang mencukupi dan berkualiti. Sikap positif serta komitmen daripada semua guru menjadi faktor penting bagi menjayakan transformasi pendidikan yang bersifat holistik dan multi-dimensi ini.

Peranan guru dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ialah sebagai pemudah cara dan pencetus inspirasi kepada pembelajaran murid dan kreativiti: Guru menggunakan pengetahuan tentang isi kandungan subjek, pengajaran dan pembelajaran, serta teknologi untuk memudahkan cara pengalaman pembelajaran, kreativiti, dan inovasi dalam interaksi bersemuka dan persekitaran maya, mereka bentuk dan membangunkan pengalaman pembelajaran dan pentaksiran era digital. Guru mereka bentuk, membangun dan menilai pengalaman pembelajaran dan pentaksiran yang autentik. Mereka menggabungkan alat kontemporari dan sumber bagi memaksimumkan pembelajaran isi kandungan dalam konteks dan membangunkan pengetahuan, kemahiran, serta sikap untuk menggunakan ICT.

Di samping itu, guru berperanan sebagai agen sosialisasi yang bermaksud sebagaialat untuk menyebar ilmu kemasyrakatan. Guru berperanan untuk membentuk sahsiah murid-murid yang bersesuaian dengan norma dan nilai masyarakat. Guru boleh menjadi pembentuk masyarakat yang penyayang dengan menerapkan nilai kasih sayang dalam pengajaran dan pembelajaran bilik darjah. Selain itu, Guru juga dilihat sebagai role model kepada murid dan masyarakat. Tambahan lagi, guru merupakan penghubung antara guru, ibu, bapa, pegawai kerajaan dengan masyarakat dan penyumbang kepada masyarakat. Kita juga dapat lihat guru sebagai agen sosialisasi adalah dengan tugas guru menyebarkan ilmu yang membawa kepada perkembangan dan kemajuan sekolah masyarakat. Seterusnya, guru juga menjadi agen dalam usaha memodenisasikan masyarakat dalam semua bidang perkembangan dan kemajuan negara.

Selain itu, guru berperanan sebagai model bekerja dan belajar dalam era digital. Guru mempamerkan pengetahuan, kemahiran, dan proses kerja mewakili seorang profesional yang inovatif dalam masyarakat global dan digital, termasuk kemahiran tinggi dalam sistem ICT dan peralatan digital untuk menyokong kejayaan dan inovasi dalam kalangan murid, mempromosi dan menjadi model sebagai masyarakat digital yang bertanggungjawab. Guru memahami isuisu masyarakat setempat dan global serta bertanggungjawab dalam budaya digital dan mempamerkan tingkah laku yang betul serta beretika dalam amalan profesionalnya dan melibatkan diri dalam pembangunan profesional dan kepimpinan. Guru juga berperanan untuk menambahbaik amalan profesional secara berterusan dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat.

Kesimpulan, kejayaan melaksana pelan pendidikan baru itu sangat bergantung kepada keupayaan guru untuk merealisasikan matlamat dan aspirasi pendidikan seperti yang ditetapkan itu. Selain itu, penyediaan infrastruktur pendidikan yang mencukupi dan berkualiti serta proses pembelajaran guru yang berkesan dan terkini juga amat penting dalam melahirkan guru yang berkualiti dan cemerlang. Yang paling penting ialah guru mestilah menghayati semangat dan falsafah pendidikan guru Malaysia yang menyebut: “Guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin perkembangan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin”. Penghayatan terhadap falsafah pendidikan guru yang mendalam akan mendorong para guru menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Related Documents


More Documents from "Che Din"